Sabtu, Julai 28, 2012

KEMBAR Muaimin Azli (kanan) dan Muaiman sebelum mereka dipisahkan.





KEMBAR Muaimin Azli (kanan) dan Muaiman sebelum mereka dipisahkan.



TIONG LAI menziarahi Muaimin Azli (depan) dan kembarnya 
Muaiman Azli yang selamat menjalani pembedahan pemisahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pakar-pakar perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatat satu lagi sejarah apabila berjaya memisahkan kembar Siam berusia setahun yang berasal dari Segamat, Johor dan bercantum di bahagian tulang pinggul baru-baru ini.
Mereka yang terdiri daripada 19 pakar bedah dan anastetik serta 36 jururawat dan pegawai perubatan berjaya memisahkan kembar Muaiman Azli dan Muaimin dalam satu pembedahan maraton selama 24 jam.
Pasangan kembar tersebut yang bercantum di bahagian tulang pinggul dan turut berkongsi usus dan saluran kencing tetapi tiada lubang dubur, selamat menjalani pembedahan untuk pemisahan pada 15 Julai lalu.
Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, pembedahan tersebut bertujuan memisahkan dan menstrukturkan semula anggota badan kembar tersebut
“Kami berjaya memisahkan mereka pada pukul 10.10 malam pada hari pertama pembedahan iaitu 14 Julai lalu sebelum dua pasukan pakar bedah bertanggungjawab ke atas bayi tersebut masing-masing.
“Mereka kini berada dalam keadaan stabil tetapi masih memerlukan pembedahan bagi tampalan kulit memandangkan luka pembedahan itu agak besar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut meluangkan masa melawat kembar berkenaan di Wad Pediatrik, HKL.
Muaiman dan Muaimin telah dilahirkan pada 14 April tahun lalu di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru sebelum mereka ditempatkan di HKL keesokan harinya iaitu 15 April.
Tambah Zakaria, salah seorang daripada bayi berkenaan akan memiliki satu kaki sahaja memandangkan hanya tiga anggota badan berkenaan yang terbentuk.
“Kita lihat dulu keadaan mereka dalam masa dua minggu. Sekiranya semua berjalan lancar kembar berkenaan akan mula menjalani fisioterapi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan