Sabtu, Ogos 04, 2012

Abdul Jabbar Mohammed Kahar,meraih juara program Imam Muda musim ketiga





KEJAYAAN meraih juara program Imam Muda musim ketiga membakar semangat buat Imam Muda Jabar untuk menghadapi arena dakwah yang mencabar.


SETELAH sembilan minggu para peserta atau Imam Muda berada dalam program realiti yang masih menjadi fenomena di negara ini, Iman Muda, perjuangan mereka telah berakhir semalam.
Dewan Jubli, Pusat Penilaian Negara (INSPENS), Bangi menjadi saksi Abdul Jabbar Mohammed Kahar, 28, atau Imam Muda Jabar dinobatkan juara ketiga program realiti tersebut selepas Imam Muda Asyraf dan Imam Muda Hassan sebagai juara untuk dua musim sebelum ini.
Ternyata keputusan lelaki dari Selangor itu meninggalkan keluarga terutamanya isteri dan dua orang anak kecil serta menolak tawaran kenaikan jawatan semata-mata untuk menyertai program Imam Muda musim ketiga nampaknya tidak sia-sia.
Mengulas tentang kemenangannya, Jabar melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi. Dia menyifatkan kemenangannya sebagai permulaan buat dirinya berdakwah.
"Saya memanjatkan kesyukuran yang tiada terhingga kepada Allah Taala. Rasa syukur dan terima kasih atas segala doa dan sokongan peminat Imam Muda, terutamanya ibu bapa dan keluarga.
"Kemenangan ini adalah permulaan untuk menghadapi arena dakwah yang lebih mencabar. Biarpun melalui pelbagai cabaran sebelum dan semasa berada dalam program ini, saya nekad untuk terus berjuang atas nama dakwah.
Naib juara disandang oleh Mohammad Hafiz Abdul Khodir, 27, sementara Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 21, menduduki tempat ketiga.
Terdahulu, Kemuncak Imam Muda yang bersiaran di Astro Oasis (Saluran 106) dan serentak di Mustika HD (Saluran 134) pada malam Jumaat lalu buat pertama kalinya menyaksikan tiga peserta bersaing pada pusingan final.
Mereka ialah Mohammad Hafiz dari Kuala Lumpur, Abdul Jabbar (Perak) dan Abdul Rahman Naufal (Johor).
Juara Imam Muda musim ketiga membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta sebuah trofi sumbangan Astro manakala naib juara pula membawa pulang wang tunai RM35,000 sumbangan Astro, RM15,000 sumbangan Bank Islam dan sebuah piala.
Tempat ketiga turut memenangi wang tunai RM15,000 sumbangan Astro dan RM10,000 sumbangan Bank Islam dan sebuah piala.
Bagi yang ketinggalan menonton final Imam Muda, anda masih boleh mengikuti siaran ulangan hari Sabtu, 4 Ogos ini pukul 5.30 petang atau hari Ahad 5 Ogos 2012 pukul 10 pagi di Astro Oasis (Saluran 106).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan