Selasa, Ogos 28, 2012

Ia tak buruk - Que





QUE bersama dua orang anaknya, Qalif dan Ratu serta isteri, Linda pada majlis sambutan ulang tahun Ratu tahun lalu. Anak ketiga mereka, Cleopatra tiada dalam gambar.


SIAPA tidak sayang anak! Begitu juga perasaan pelakon berbakat besar, Que Haidar apabila baru-baru ini nama cahaya mata keduanya yang dilahirkan tiga bulan lalu menjadi pertikaian banyak pihak.

Ada yang mendakwa nama Tengku Cleopatra Haidar sangat kebaratan dan tidak sesuai diberikan untuk seorang yang beragama Islam, malah ramai yang menyarankan dia memilih nama yang lebih mencerminkan nilai Melayu dan Islam.

Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, yang juga memiliki dua orang anak bersama guru tarian, Linda Jasmine iaitu Qalif Khan (anak hasil perkahwinan pertama Linda) dan Tengku Ratu Haidar, 4, tampil memberikan penjelasan dan menyatakan pendiriannya kepada Kosmo! ketika ditemui di sebuah majlis anjuran Lord’s Tailor di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kosmo!: Que sedar atau tidak akan kata-kata sesetengah pihak yang kurang senang apabila anda menamakan puteri kedua dengan nama Tengku Cleopatra sempena nama permaisuri Mesir suatu ketika dulu?

QUE: Sebelum memilih nama itu, kami sudah memikirkan baik buruk dan sudah memahami maksud di sebalik nama itu. Ertinya kekuatan bapa atau glory of father daripada bahasa Greek.

Jadi apa masalahnya? Saya rasa tidak perlu timbul isu sesuai atau tidak sesuai nama yang saya beri kepada anak saya. Apakah nama yang sesuai dan melambangkan orang Johor atau orang Malaysia?

Apabila ada juga sesetengah pihak yang menilai pemilihan nama yang sesuai mencerminkan akhlak seseorang anak, bagaimana pandangan anda?

Tidak ada kena-mengena nama seseorang dan personaliti. Jika dibentuk dengan cara yang baik, maka akan jadi baiklah seseorang itu. Nama itu pun bukan membawa maksud sesuatu yang buruk. Contohnya nama bapa saya iaitu Tengku Haidar yang bermaksud singa, tapi bagi saya dia lelaki paling mulia dan baik yang pernah saya kenali dalam hidup. Jadi bukan nama orang yang menilai personaliti.

Anda ada alasan sendiri untuk tidak mempedulikan kata-kata orang sekeliling?

Saya menghiburkan masyarakat sejak usia 16 tahun lagi dan sekarang sudah tiba waktu untuk saya berasa gembira dengan keputusan dan kehidupan saya. Saya gembira memilih nama Tengku Cleopatra Haidar untuk anak saya dan keluarga saya juga gembira. Ini masa saya dan inilah saya sekarang! Saya gembira untuk memanggilnya dengan nama itu.

Pandangan anda terhadap komen-komen negatif di internet berkenaan pilihan nama Cleopatra?

Saya tidak anggap perkara itu besar dan saya rasa orang yang memberikan komen di internet tidak berapa pandai. Anak saya seorang Islam dan saya sendiri yang qamat Tengku Cleopatra Haidar. Saya rasa tidak menjadi masalah.

Terkilan atau sedih dengan perkara ini?

Saya sedih apabila kebanyakan yang memberikan komen terdiri daripada kaum Melayu dan bagi saya mereka berfikiran sempit. Tapi tidak kurang juga ada yang memuji. Saya agak terperanjat sebenarnya dengan respons negatif segelintir pihak, tapi tidak mengapa kerana ia tidak memberi kesan pun.

Memandangkan anda sekarang sudah semakin menyepi daripada dunia seni, mungkin anda ada perancangan lain selain daripada berlakon?

Tawaran berlakon masih ada, cuma saya terlalu cerewet. Saya perlu pastikan skrip, karakter, pengarah dan pelakon lain menepati kriteria yang saya inginkan. Saya melihat keseluruhan aspek kerana saya kini mempunyai keluarga yang perlu diberikan perhatian dari segi masa. Saya mahukan sebuah naskhah yang mempunyai pengisian ke arah kemasyarakatan dan bermakna untuk memberi pendidikan kepada penonton.

Selain meluangkan masa bersama keluarga, apa aktiviti lain buat masa sekarang?

Saya masih menantikan tayangan filem Rock 2 pada bulan Mac tahun depan. Selepas pementasan Primadona, saya ada terfikir untuk berlakon dalam beberapa buah teater lain, tapi belum diputuskan buat masa sekarang. Saya belum sedia untuk menjadi pengarah kerana risikonya tinggi dan biar betul-betul bersedia. Buat masa sekarang kebanyakan projek saya masih dalam proses perbincangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan