Sabtu, Ogos 04, 2012

Ibu bimbang anak diculik untuk dijadikan pelacur



CHEAK HOCK (kiri) bersama Lu Ceng menunjukkan gambar Yvonne di Wangsa Maju, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri, Phua Cheak Hock, 42, dan Tan Lu Ceng dari Wangsa Maju di sini, mengesyaki kehilangan anak perempuannya sejak Rabu lalu adalah akibat menjadi mangsa culik dua individu yang mempergunakan pelajar-pelajar perempuan untuk kegiatan pelacuran.
Menurut ibu malang itu, Lu Ceng, 42, anaknya, Yvonne Phua Sze Kei, 18, merupakan pelajar Sekolah Menengah Perempuan Air Panas, Setapak telah hilang secara tiba-tiba dari sekolah pada 1 Ogos lalu.
"Pada hari kejadian, saya telah menghantar Yvonne ke sekolah pada waktu pagi dan nampak dia terus memasuki kawasan sekolah seperti biasa.
"Namun, ketika saya ingin menjemputnya selepas tamat sesi persekolahan pada pukul 1.10 petang, saya dapati dia tidak muncul-muncul sehingga memaksa saya ke sekolah untuk bertanya kepada gurunya.
"Peliknya, gurunya menyatakan Yvonne tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Pusat Khidmat Datuk Yew Teong Look di Taman Danau Kota semalam.
Cerita Lu Ceng lagi, sebulan yang lalu, anak lelakinya telah mengadu kepadanya bahawa Yvonne sedang berkawan dengan dua individu iaitu seorang lelaki bernama Father (nama samaran) dan seorang tomboi iaitu seorang wanita yang menyerupai lelaki, Low Hong Xiu, 25, dari Skudai, Johor melalui laman sosial, Facebook.
Ekoran itu, Lu Ceng telah menasihati anak perempuannya mengenai perhubungan itu dan meminta agar berhati-hati dengan kawan-kawan baharu berkenaan.
Ujar Lu Ceng, beberapa hari kemudian sebelum anak perempuannya itu hilang, ada seorang wanita telah menghubungi anak lelakinya dan mengugut untuk melarikan Yvonne ke luar negara jika keluarganya menghalang mereka daripada berkawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan