Ahad, Jun 17, 2012

Kupasan Peristiwa Israk Mikraj Secara Terperinci






Peristiwa  Israk Mikraj  merupakan salah satu peristiwa agung Islam yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Sesuatu yang tidak dapat disangkal bahawa peristiwa Israk Mikraj telah membawa satu pengertian yang besar dalam Islam kerana melalui peristiwa ini, ibadah solat fardu lima waktu mula disyariatkan. Solat yang merupakan tiang agama Islam telah difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW  melalui  peristiwa Israk Mikraj.  Betapa signifikannya peristiwa ini dalam Islam sehingga Allah  SWT  menamakan  satu surah dalam al-Quran dengan nama surah al-Isra',  iaitu  sempena  peristiwa Israk Mikraj.

 Perkataan isra' berasal daripada kata kerja asra yang bererti perjalanan malam (Ibn Manzur 1990, 14/382). Di dalam al-Quran perkataan  asra  digunakan  oleh  Allah  SAW khusus bagi menjelaskan  peristiwa  Israk Mikraj.  Firman  Allah  SWT  yang  bermaksud:  ''Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam, dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati  sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda  kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat'' (surah al-Isra', ayat 1).

Manakala perkataan  mi'raj  pula  menurut  kamus  Lisan al-'Arab  bererti  sesuatu yang menyerupai tangga yang digunakan oleh roh manusia untuk ke langit setelah dipisahkan daripada jasad (Ibn Manzur 1990, 2/322). Perkataan ini berasal  daripada kata kerja  'araja (Ibn Manzur 1990, 2/321). Allah  SWT  telah merakamkan peristiwa Miraj  Rasulullah  SAW  ke langit menerusi firman-Nya  yang bermaksud:  ''Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril (dalam  bentuknya yang asal) pada waktu yang lain. (Iaitu) di  Sidrat al-Muntaha. Berhampiran dengannya terdapat syurga tempat tinggal (Muhammad melihat Jibril) ketika  Sidrat al-Muntaha  diliputi  oleh  sesuatu  yang  meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak  (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar'' (surah al-Najm, ayat 13–18).

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa peristiwa Israk Mikraj memang benar-benar dilalui Rasulullah  SAW  semasa  hayatnya.  Selain  tujuan utama berlakunya peristiwa Israk Mikraj,  iaitu  pensyariatan  ibadah  solat  kepada umat Islam, peristiwa ini juga meninggalkan kesan yang mendalam terhadap iman seseorang kerana sebaik sahaja Rasulullah SAW menceritakan perihal Israk Mikraj kepada para sahabat, maka terdapat kalangan mereka yang meragui kesahihannya. Keadaan ini berlaku kerana peristiwa  Israk Mikraj  amat bertentangan  dengan  logik  akal  yang  waras. Oleh  itu,  signifikannya  peristiwa  ini terhadap Islam apabila ia menjadi kayu ukur tahap keimanan para sahabat  Rasulullah SAW

Bagi melihat kronologi peristiwa besar ini, makalah akan menyoroti beberapa situasi penting yang  berlaku dalam peristiwa  Israk Mikraj.  Penelitian  terhadap situasi-situasi ini, walaupun secara sepintas lalu, adalah penting bagi mendapat gambaran yang jelas  tentang Israk Mikraj.  Pemahaman  terhadap  peristiwa  ini juga akan memudahkan para pembaca melihat secara jelas aspek  Israk Mikraj yang telah dimanipulasikan dalam karya-karya sastera yang akan dibincangkan selepas ini. Terdapat perselisihan pendapat  tentang  tarikh  sebenar  berlakunya peristiwa Israk Mikraj.  Ibn  al-Jawzi berpendapat peristiwa Israk Mikraj berlaku lapan bulan sebelum Rasulullah SAW  berhijrah ke Yathrib (Madinah), Ibn 'Abd al-Bir pula berkata ia berlaku kira-kira setahun dua bulan sebelum Rasulullah SAW  berhijrah  ke Yathrib, manakala Ibn  Faris  berpegang  kepada  tarikh  setahun dan tiga bulan sebelum Hijrah, dan Ibn al-Athir pula berpendapat ia berlaku tiga tahun sebelum proses Hijrah (al-'Asqalani 2003, 7/257).

Walaupun para ulama tidak sependapat  tentang  tarikh  sebenar  berlakunya peristiwa Israk Mikraj, namun secara kolektif mereka bersetuju bahawa peristiwa ini berlaku selepas Rasulullah SAW  dilantik  menjadi  Rasul  dan  sebelum  Baginda SAW berhijrah dari Mekah ke bumi Yathrib. Menurut Safi al-Din al-Mubarakfuri, peristiwa  Israk Mikraj  berlaku apabila Baginda  SAW  mengalami  pembedahan dada yang  dilakukan oleh Malaikat Jibril  AS  (al-Mubarakfuri 2000, 101). Hati Baginda SAW  telah dicuci dengan  air  zamzam dan kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW (al-Haythami 2001, 1/90). Keadaan ini menunjukkan bahawa hati merupakan  punca  segala  amalan  manusia.  Selain itu, situasi ini membawa pengertian bahawa peristiwa Israk Mikraj  amat tinggi nilainya sehinggakan ia dimulakan dengan persediaan kerohanian melalui proses penyuciaan hati yang dilakukan terhadap insan agung yang sememangnya telah sediakala mulia di sisi Allah SWT.

Ibn Mas'ud meriwayatkan bahawa setelah selesai pembedahan yang dilakukan sendiri oleh Jibril AS, didatangkan binatang bernama  Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah  SAW  dalam  perjalanan  luar  biasa  yang  dinamakan  Isra'  (Ibn Kathir 2007, 52). Menurut Ibn Sayyid al-Nas di dalam bukunya 'Uyun al-Athar fi Funun al-Maghazi wa al-Shama'il wa al-Siyar,  Buraq adalah sejenis binatang yang melata berwarna putih, saiznya lebih kecil daripada al-himar  (keldai)  serta memiliki sayap pada bahagian paha yang menutupi kedua kakinya (al-Nas t.th., 1/140, 143). Binatang ini dinamakan  Buraq  kerana  ketangkasannya  yang diumpamakan seperti  al-barq  (kilat)  (al-Aswad 1989, 53). Gambaran ciri-ciri Buraq  ini  telah dijelaskan menerusi sebuah hadis  Rasulullah  SAW  yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.Beliau telah meletakkan hadis ini sebagai hadis pertama dalam  bab Isra'  Rasulullah  SAW  ke  langit  dan  pensyariatan  solat  (alNawawi 2003, 2/180). Sebenarnya, jika dilihat dari sudut yang lebih menjurus kepada manfaat manusia di dunia, peristiwa Israk Mikraj telah membuka ruang yang amat luas bagi diadaptasi secara kreatif dan inovatif untuk sumbangan dalam bidang sains dan teknologi. Sebagai contoh, penggunaan  Buraq  dapat dilihat sebagai satu manifestasi ke arah penciptaan kenderaan berteknologicanggih dan pantas seperti yang wujud pada ketika ini.

Sepanjang perjalanan menuju ke Masjid al-Aqsa di Bayt al-Maqdis, Rasulullah SAW  diiringi  oleh  Jibril AS. Apabila tiba di tempat-tempat tertentu yang tercatat padanya kisah-kisah sejarah Islam, Rasulullah SAW diajukan oleh Jibril AS supaya berhenti dan menunaikan solat dua rakaat bagi menghormati tempat tersebut. Diriwayatkan oleh Anas  RA, antara tempat-tempat berkenaan ialah Yathrib, Tursina iaitu tempat  Nabi  Musa AS  bermunajat  kepada  Allah  SWT  dan  Bayt alLaham iaitu tempat Nabi  'Isa  AS  dilahirkan (al-Asqalani 2003, 7/253; alHaythami 2001, 1/97). Selain itu, dicatatkan bahawa dalam perjalanan menuju ke Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolikyang amat luar biasa. Antaranya gambaran kaum yang sedang bercucuk tanam alu terus menuai hasil tanaman mereka, dan apabila selesai dituai, hasil tanaman yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Keadaan ini berlaku berulang-ulang kali, maka Rasulullah  SAW diberitahu oleh Jibril AS  bahawa gambaran itu menunjukkan ganjaran Allah SWT  kepada kaum yang berjihad di jalan Allah yang digandakan pahala kebajikan mereka (al-'Asqalani 2003, 7/253; al-Haythami 2001, 1/92).

Rasulullah  SAW  juga ditunjukkan gambaran satu kaum yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, mereka memakan daging mentah yang busuk, sedangkan daging masak dan elok ada di sisi mereka. Menurut Jibril  AS, mereka adalah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami yang sah (al-'Asqalani 2003, 7/253; al-Haythami 2001, 1/92). Selain itu, Rasulullah  SAW  juga menyaksikan sekumpulan manusia yang sedang mengumpul kayu api, mereka tidak mampu untuk memikulnya, namun mereka terus menambah beban kayu tersebut. Keadaan ini adalah gambaran bagi orang yang gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka (al-'Asqalani 2003, 7/254; al-Haythami 2001, 1/92). Sebenarnya, kesemua peristiwa ini memberi gambaran yang jelas kepada umat Islam bahawa setiap amalan buruk yang dilakukan di dunia, pasti mendapat balasan yang selayaknya di akhirat kelak. Secara tidak langsung, gambaran-gambaran tersebut membuktikan ketegasan Islam berkaitan perkara larangan yang sememangnya membawa kesan negatif di dalam kehidupan manusia.

Setibanya di Masjid al-Aqsa, Rasulullah  SAW  turun daripada  Buraq  dan kemudian masuk ke dalam masjid lalu mengimamkan solat yang disertai oleh sekalian para Nabi dan Rasul yang terdahulu daripada Baginda SAW  (Ibn  Kathir 2007, 52). Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa martabat Rasulullah SAW  itu amat tinggi, sesuai dengan kedudukannya sebagai Rasul terakhir buat sekalian umat manusia. Allah  SWT  menjelaskan perkara ini menerusi firman-Nya yang bermaksud: ''Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu,tetapi iaadalah Rasul Allah dan kesudahan sekalian para Nabi dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu'' (surah al-Ahzab, ayat 40).

Selepas peristiwa Israk,  Rasulullah SAW  didatangkan  dengan Mikraj iaitu sebuah tangga yang indah dari syurga (Ibn Kathir 2007, 55). Rasulullah SAW  dan  Jibril AS  naik  ke  langit  dunia  dengan  menggunakan Mikraj  tersebut.  Seterusnya Baginda  SAW  dan  Jibril  AS  menaiki  setiap  tingkatan  langit  dunia  yang  terdiri daripada tujuh peringkat dan bertemu dengan para Rasul terdahulu daripada Baginda SAW. Pada langit pertama, Rasulullah SAW dan Jibril AS bertemu dengan diperlihatkan dengan dua kumpulan manusia, iaitu satu kumpulan daripada golongan yang beriman, manakala kumpulan kedua  terdiri  daripada  golongan yang melakukan dosa dan kejahatan (al-'Asqalani 2003, 7/266; al-Jawziyah 2003, 3/27). Di langit kedua, Rasulullah SAW dan Jibril AS bertemu dengan Nabi Yahya AS dan Nabi 'Isa AS. Seterusnya, di langit ketiga Rasulullah SAW bertemu dengan Nabi Yusuf AS. Manakala di langit keempat, Baginda SAW bertemu dengan Nabi Idris  AS.  Kemudian  Rasulullah  SAW  bertemu dengan Nabi Harun  AS  yang dikelilingi oleh kaumnya daripada kalangan Bani Israil di langit kelima. Di langit keenam, Rasulullah  SAW  bertemu dengan Nabi Musa  AS. Akhirnya di langit ketujuh, Baginda  SAW  telah bertemu dengan Nabi Ibrahim  AS  yang  sedang bersandar di Bayt al-Ma'mur, iaitu sebuah tempat untuk para Malaikat melakukan tawaf (al-Mubarakfuri 2000, 100). Selepas itu, Rasulullah SAW telah dinaikkan ke Sidrat al-Muntahauntuk bertemu dengan Allah SWT,  iaitu  untuk  menerima  perintah  solat  lima  waktu  (Ibn  Kathir 2007, 57). Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Ibn 'Abbas dalam kitab Sharh Sahih Muslim  ketika  membicarakan  perihal  Sidrat al-Muntaha.

Menurut Ibn  Abbas, tempat tersebut dinamakan Sidrat al-Muntaha kerana pengetahuan para Malaikat terhenti di situ, dan tiada sesiapa yang boleh melepasinya melainkan Rasulullah  SAW  (al-Nawawi 2003,  2/185). Menerusi penjelasan ini, dapat difahami bahawa Sidrat al-Muntaha adalah sebuah tempat yang  istimewa serta menjadi tempat larangan termasuk bagi para Malaikat. Ini bermakna ketika di Sidrat al-Muntaha, Rasulullah SAW tidak ditemani Jibril AS. Namun, perkara ini merupakan khilaf atau percanggahan pendapat dalam kalangan para ulama.

Dalam kitab Fath al-Bari, terdapat sebuah hadis yang merakamkan kisah Mikraj Rasulullah SAW serta gambaran tempat bernama Sidrat al-Muntaha. Dalam hadis tersebut,  Sidrat al-Muntaha digambarkan  seperti  sepohon  pokok  yang mempunyai buah yang besar seperti tempayan dan daunnya pula lebar seperti
telinga gajah (al-'Asqalani  2003,  2/270–271). Turut diberitakan menerusi  hadis tersebut bahawa pada pangkal  Sidrat al-Muntaha  terdapat empat batang anak sungai, dua daripadanya ialah sungai ''batin'' iaitu sungai di syurga, manakala dualagi sungai merupakan sungai ''zahir'' iaitu yang terdapat di dunia bernama sungai Nil dan Furat (al-'Asqalani 2003, 7/271). Berkaitan dengan tempat sebenar Sidrat al-Muntaha, kitab  Fath al-Bari  turut  menyatakan  pendapat  para  sahabat Rasulullah  SAW  mengenainya.  Hadis  Anas RA  menyatakan  bahawa  Sidrat alMuntaha  itu  terletak  di  langit  yang  ketujuh,  manakala  hadis  Ibn Mas'ud
menyatakan Sidrat al-Muntaha terletak di langit yang keenam (al-'Asqalani 2003, 7/270). Namun demikian, Imam Ibn Hajar al-'Asqalani  berijtihad  bahawa sebenarnya tiada sebarang kekhilafan antara kedua-dua pendapat tersebut kerana ia boleh membawa maksud bahawa pangkal atau asal  Sidrat al-Muntaha  ituberada di langit keenam, manakala puncak serta daun-daunnya mencapai sehingga langit yang ketujuh (al 'Asqalani 2003, 7/270). Jika pendapat ini dipegang, maka secara jelas menunjukkan Rasulullah SAW  masih  ditemani  Jibril AS  ketika  di  Sidrat al-Muntaha. Hal ini kerana, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa ketika di langit keenam,  Rasulullah  SAW  dan  Jibril  AS bertemu dengan Nabi Musa  AS, manakala di langit ketujuh, mereka bertemu dengan Nabi Ibrahim AS.

Selain itu, diriwayatkan oleh Mujahid bahawa dahan-dahan  Sidrat al-Muntaha terdiri daripada mutiara,  yaqut  dan  zabarjad  (Ibn  Kathir 1998,  7/3334). Dalam kitab  Tafsir  al-Quran  al-'Azim, Ibn Kathir turut menukilkan sebuah  hadis daripada Ibn Zayd yang menyatakan bahawa ketika peristiwa Mikraj,  Rasulullah
SAW  melihat  terdapat  kumpulan  Malaikat  yang  sentiasa  bertasbih  kepada  Allah SWT pada setiap daun Sidrat al-Muntaha  (Ibn  Kathir  1998, 7/3334). Di samping itu, diriwayatkan pula oleh Anas bin Malik RA dalam hadis yang panjang, bahawa ketika di  Sidrat al-Muntaha, Rasulullah  SAW  dihidangkan  dengan  tiga  bejana yang berisi arak, susu dan madu.  Rasulullah  SAW  telah  memilih susu  lalu meminumnya. Menurut Jibril AS, Baginda SAW telah membuat pilihan yang tepat, iaitu pilihan yang menunjukkan fitrah. Fitrah di sini memberi maksud bahawa menjadi satu kelaziman bagi Rasulullah  SAW  dan  umatnya  untuk  mencintai kebaikan dan membenci  keburukan  (al-'Asqalani 2003, 7/256). Sekali lagi, keadaan ini menunjukkan Jibril  AS  masih  menemani  Baginda  Rasulullah  SAW ketika di  Sidrat al-Muntaha. Berbalik kepada persoalan fitrah, menurut  Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti,  perkataan  ''fitrah''  merujuk  kepada  Islam sebagai satu agama yang tidak sesekali menyalahi tabiat semula jadi manusia (alButi 2003, 113). Dengan kata lain, kesemua peraturan yang digariskan oleh Islam untuk umat manusia, tidak sesekali memberati manusia untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.

Selepas Rasulullah  SAW  dihidangkan  dengan  tiga  bejana  air  tersebut, berlangsunglah dialog antara Allah SWT dengan Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini dirakamkan oleh Allah  SWT  di  dalam  al-Quran yang bermaksud:  ''Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda  (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya''  (surah al-Najm,ayat 18). Pada awalnya, Allah SWT  telah  memfardukan ke atas Rasulullah SAW dan umatnya ibadah solat sebanyak  50  kali sehari semalam (al-'Asqalani 2003, 7/256). Selesai bermunajat kepada Allah SWT, dalam perjalanan turun dari Sidrat al-Muntaha, Rasulullah SAW  menemui  Nabi  Musa AS  dan  Baginda AS  meminta agar Rasulullah  SAW  memohon kepada Allah  SWT  supaya  diberi  keringanan berkaitan jumlah solat yang difardukan (al-Mubarakfuri 2000, 100). Maka dengan rahmat dan kasih Allah SWT, akhirnya solat telah disyariatkan sebanyak lima waktu sehari semalam sahaja dengan mengekalkan nilai ganjarannya sebanyak 50 waktu.

Selepas peristiwa Mikraj,  Rasulullah SAW  dibawa  turun  ke  langit  dunia  semula untuk kembali ke Bayt al-Maqdis. Rasulullah SAW  telah  dibawa  menaiki Buraq untuk pulang  ke  Mekah  pada  malam  yang  sama.  Diriwayatkan bahawa kepulangan Rasulullah SAW di Bayt al-Maqdis telah disambut oleh para Nabi dan Rasul terdahulu sebagai satu tanda penghormatan terhadap Baginda  SAW  (Ibn Kathir 2007, 58). Menurut Shaykh Abu Muhammad  bin  Abi Jamrah, antara hikmah Rasulullah SAW melalui  peristiwa Israk terlebih dahulu, sebelum naik ke langit (Mikraj)  ialah  bagi  membuktikan  bahawa  Baginda  SAW  benar-benar telah melalui peristiwa  Israk Mikraj. Hal ini kerana bagi mereka yang ragu-ragu dengan kebenaran Rasulullah  SAW, mereka telah meminta Rasulullah  SAWmenceritakan perihal Bayt al-Maqdis tersebut. Justeru, kebenaran yang diungkap oleh Rasulullah SAW dalam menceritakan perihal Bayt al-Maqdis secara langsung membuktikan kebenaran peristiwa yang dilalui oleh Baginda  SAW  selepas  itu,iaitu Mikraj ke langit (al-'Asqalani 2003, 7/255).

Sebenarnya, terdapat beberapa persoalan yang timbul iaitu sama ada peristiwa Israk Mikraj  ini berlaku melibatkan roh Baginda  SAW sahaja  ataupun jasadnya sekali. Ibn 'Abbas serta majoriti ulama berpendapat bahawa peristiwa  Israk Mikraj  ini dialami Rasulullah SAW  secara  roh  dan  jasadnya  sekali,  dan  bukan dalam bentuk rohnya sahaja atau melalui proses mimpi (Ibn Kathir 2007, 60). Pandangan ini turut dipersetujui Ibn Qayyim al-Jawziyah seperti yang tercatat dalam kitabnya Zad al-Ma'ad fi Hady Khayr al-'Ibad  (al-Jawziyah 2003, 3/27). Perlu ditegaskan di sini bahawa ayat pertama  surah al-Isra'  juga  telah menjelaskan bahawa peristiwa ini memang benar-benar berlaku terhadap diri Rasulullah SAW. Justeru, secara jelas Allah SWT menyatakan bahawa berlakunya peristiwa ini adalah sebagai menzahirkan tanda-tanda kebesaran  dan  kekuasaanNya.  Apa yang lebih penting untuk difahami  ialah  peristiwa  Israk Mikraj
merupakan satu peristiwa yang membawa mesej bahawa setiap peristiwa yang dialami Rasulullah  SAW  pastinya membawa makna  dan pengajaran yang amat mendalam mencakupi aspek keimanan khususnya berkaitan perkara-perkara ghaib.

Peristiwa  Israk Mikraj  merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT  yang  tidak  dapat  dijangkau  oleh  fikiran  manusia  yang  amat  terbatas. Hal ini dijelaskan oleh Allah  SWT  menerusi ayat pertama  surah al-Isra' yang menegaskan bahawa tujuan utama berlakunya peristiwa ini ialah untuk memperlihatkan sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Ilahi.




sumber : beberapa kitab dan buku2.























Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k