Rabu, Ogos 08, 2012

Chong Wei disambut bagai wira





CHONG WEI (tengah) dikerumuni orang ramai dan pihak media sejurus tiba di KLIA dari London semalam.


JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei diberi sambutan wira oleh lebih 1,000 peminat yang mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata sokongan setibanya di tanah air pagi semalam.
Ruang balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal 6 pagi dengan membawa sepanduk dan poster, antaranya tertera LCW - National Hero dan We Love You LCW.
Semasa menantikan ketibaan Chong Wei, mereka turut menyanyikan beberapa lagu patriotik sepertiNegaraku dan Barisan Kita secara beramai-ramai.
Suasana di balai ketibaan itu riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH02 yang membawa Chong Wei dari London dilapor mendarat pada kira-kira 7.30 pagi, dengan peminat mula melaung-laungkan nama beliau berulang kali.
Sebaik sahaja Chong Wei melangkah ke balai ketibaan sejam kemudian, para peminat dan penyokong melaungkan slogan Malaysia Boleh dan menyanyikan lagu Negaraku dan Barisan Kita serta melaungkan nama pemain badminton negara itu.
Chong Wei turut bertemu dengan kumpulan media di balai ketibaan sambil mengalungkan pingat perak Sukan Olimpik 2012 yang dimenanginya untuk sesi bergambar media disambut sorakan gembira peminat.
Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012 di Arena Wembley, Ahad lalu, Chong Wei kecundang 21-15, 10-21, 19-21 kepada musuh tradisinya, Lin Dan dari China.
Meskipun gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik London, namun rakyat Malaysia rata-ratanya tidak menyalahkan atlet itu atas kekalahannya, sebaliknya menganggap beliau telah melakukan yang terbaik.
"Saya ucap terima kasih kepada penyokong yang ada hari ini (semalam). Saya memang terkejut dan tidak sangka ada penyokong yang tunggu di sini (KLIA)," kata Chong Wei.
Seorang pelajar kolej swasta di Cyberjaya yang hanya mahu dikenali sebagai Kenny berkata, dia sanggup keluar awal untuk menyambut kepulangan Chong Wei.
"Dia (Chong Wei) adalah pemain terbaik dunia. Walaupun dia kalah kepada Lin Dan, dia telah berikan tentangan yang cukup sengit tetapi nasib masih tidak menyebelahi dia," katanya.
Terdahulu, ketibaan Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k