Sabtu, Ogos 25, 2012

Hati Rita sudah kosong






PERTEMUAN Kosmo! dengan aktres jelita Rita Rudaini, 36, untuk merakam suasana raya dirinya bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna yang masing-masing berusia tiga dan satu tahun, berlangsung dalam keadaan cukup tenteram di kediaman Rita di Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Cuma sekali-sekala anak-anaknya meragam, mahu dipeluk dan didukung ibunya yang ketika itu sedang sibuk disolek oleh jurusolek Tiar Zainal.
Apabila semua sudah bersedia, tanpa disuruh ketiga-tiga mereka beraksi dengan penuh gaya terutama anak sulung Rita, Rayyan yang seperti tidak sabar menyambut raya tatkala disarungkan baju Melayu.
Qaqa pula tidak henti-henti berjalan di sekeliling rumah kerana baru sahaja pandai berjalan. Kata Rita: "Macam inilah anak-anak saya, tetapi saya seronok sebab dapat saksikan mereka membesar di depan mata saya sendiri.
"Setiap momen istimewa anak-anak seperti gigi pertama tumbuh, langkah pertama serta perkataan pertama yang disebut semuanya terpahat dalam ingatan saya."
Sememangnya anak-anak Rita membesar dengan baik, namun jauh di sudut hatinya, Rita tahu anak-anaknya kehilangan sesuatu yang sangat besar iaitu kasih sayang dan belaian seorang ayah.
"Sekarang ini, sayalah ibu dan ayah untuk anak-anak saya sejak Aidil meninggalkan rumah tujuh bulan yang lalu. Anak-anak pun jarang bertanya tentang ayah mereka kerana sejak kecil lagi ayah mereka jarang menghabiskan masa bersama.
"Sebagai ibu, saya akan melakukan yang terbaik supaya anak-anak saya tidak rasa kekurangan walau sedikitpun berbanding orang lain disebabkan masalah rumah tangga saya dan Aidil," luah Rita penuh serius.
Ketika di Malaysia sedang kecoh dengan isu rumah tangganya, sekitar Jun lalu Rita sempat menenangkan diri seketika ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah bersama anak sulungnya.
Akui Rita, pemergiannya ke Tanah Suci adalah untuk mengumpul kekuatan bagi menempuh hari-hari yang mendatang.
"Saya berdoa, jika perkara yang baik dekatkan dengan saya, jika perkara yang buruk harap dijauhkan selain berdoa yang terbaik untuk keluarga saya," ucap Rita sedikit perlahan.
Naik turun mahkamah
Cukup panjang sejarah Rita dan suaminya di mahkamah, umpama main tarik tali, pada Oktober 2010, Aidil atau nama penuhnya, Aidil Zafuan Abd. Radzak, 25, membuat tuntutan hak penjagaan kekal terhadap anak sulung mereka dan permohonan perintah isteri kembali taat (nusyuz) yang turut difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
Kemudian pada 20 Januari lalu, Aidil telah keluar daripada kediaman mereka. Selepas itu, sekitar April lalu, Aidil menghantar permohonan cerai yang kemudiannya ditarik balik dan selepas itu membuat permohonan kembali taat.
KATA Rita, anak-anaknya sudah membiasakan diri menjalani rutin kehidupan seharian tanpa kehadiran insan bergelar bapa, sejak Aidil keluar dari rumah tujuh bulan lalu.


Kata Rita: "Saya sendiri pening apatah lagi orang lain yang membaca rentetan kisah rumah tangga kami. Hakim telah menasihat Aidil untuk menyelesaikan kes ini secara baik sempena bulan Ramadan.
"Apa yang saya tahu, pada 25 September ini saya akan naik mahkamah sekali lagi berhubung hak penjagaan anak-anak walaupun pada dasarnya kami belum lagi bercerai."
Ditebak soalan masih adakah kasih dan cinta buat suaminya itu, dia termenung seketika, mungkin untuk bertanya kepada hatinya sebelum akhirnya dia nekad menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Jujur, hati saya sudah kosong untuk dia. Air mata saya sudah kering untuk menangis, sudah tidak ada apa lagi," akuinya.
Ditanya adakah itu bermakna dia sudah bersedia untuk hidup sendirian sebagai ibu tunggal andai itulah takdir yang tertulis untuknya, Rita mengiakannya.
"Saya sudah sangat bersedia untuk segala kemungkinan, diceraikan atau tidak diceraikan. Saya tidak takut untuk menjadi ibu tunggal kerana selama ini pun saya menjalani hidup sendirian dengan anak-anak.
"Sebelum ini ya, saya takut. Saya menangis sekarang tidak lagi kerana saya sudah menerima nasib yang menimpa saya. Ketika pertama kali berlaku krisis rumah tangga, keluarga saya menasihatkan saya untuk berbaik semula dengan Aidil.
"Namun, apabila kejadian yang sama berulang untuk kali kedua, keluarga menyerahkan segala keputusan kepada saya. Mereka hanya mahu lihat saya bahagia," tutur sambil mendukung anak bongsunya itu.
Walaupun apa yang terjadi antara dirinya dengan suami, Rita akur Aidil tetap bapa kepada anak-anaknya dan dia tidak pernah menghalang suaminya itu untuk berjumpa dengan mereka.
"Saya tidak mahu dipersalahkan jika anak-anak tidak kenal ayah mereka sendiri, jadi saya tidak pernah halang mereka untuk berjumpa.
"Setakat hari ini, Aidil hanya bertanya khabar tentang anak-anak kami menerusi panggilan telefon sahaja. Jika dia ingin datang ke rumah jumpa anak-anak, silakan, saya tidak kisah," tegas Rita.
Azam baharu
Sudah terbiasa barangkali, ujar Rita, tahun ini merupakan kali kedua dia meraikan Aidilfitri tanpa insan bergelar suami di sisi. Tidak janggal mahupun sunyi, kata Rita, anak-anak serta keluarga sudah cukup untuk membuatkannya bahagia.
"Aidil sudah meninggalkan rumah selama tujuh bulan, jadi saya dan anak-anak sudah membiasakan diri tanpa kehadiran dirinya.
"Raya mahupun hari-hari lain tidak ada perbezaan buat saya. Apa yang penting, saya mahu beraya sakan tahun ini. Suami ada ataupun tiada, sama sahaja," katanya yang mempunyai empat pasang baju raya tahun ini.
Rita yang pulang ke kampungnya di Kangar, Perlis selama seminggu untuk beraya, memberitahu, selama empat tahun berkahwin dengan Aidil, dia lebih banyak menjaga kepentingan hati orang lain daripada diri sendiri.
Tidak mahu berterusan meratap kalah kepada dugaan yang diberi kepadanya, Rita mempunyai azam baharu demi masa depan dirinya dan anak-anak.
"Memang selama ini saya selalu pentingkan orang lain sehingga tidak menjaga hati dan perasaan sendiri. Tahun ini, saya berazam untuk gembirakan diri sendiri dan anak-anak terlebih dahulu berbanding orang lain," ujarnya yang pada tahun ini memakai busana berwarna ungu sedondon dengan warna baju anak-anaknya di pagi raya.
Penggemar laksa dan ketupat palas yang merupakan menu wajibnya di hari raya berkata, dia mempunyai pilihan dalam hidupnya dan kini memilih untuk hidup lebih bahagia walaupun masalahnya setinggi gunung.
"Tahun ini saya lebih bahagia dan lebih ceria, orang sekeliling pasti berasa kasihan pada saya tetapi tidak perlu kerana sekarang saya benar-benar bahagia dengan kehidupan saya.
"Allah maha adil, apa yang berlaku sekarang pasti ada hikmah pada kemudian hari, jadi apa yang boleh saya lakukan pasrah, berdoa dan hadapi hari-hari mendatang dengan tenang," luahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k