Sabtu, Ogos 25, 2012

Kelantan azam bangkit




GHADDAR (kanan) dijangka kembali memperkuatkan jentera serangan Kelantan pada 
pertemuan menentang Kedah malam ini.


KELANTAN tidak mempunyai pilihan selain menundukkan Kedah pada aksi kedua Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini jika mahu mencerahkan kembali peluang mara ke pusingan suku akhir.
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, kekalahan 0-2 kepada Terengganu dalam aksi pembukaan Rabu lalu perlu dilupakan segera dan beliau tetap optimis barisan pemainnya mampu bangkit dan meraih tiga mata pada pertemuan dengan Kedah.
"Saya harap pemain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan malam esok (malam ini). Peluang beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mendapatkan tiga mata penting.
"Namun, berdepan dengan Kedah bukanlah satu tugas yang mudah dan mereka pasti akan bermain mati-matian selepas tumbang pada perlawanan pertama lalu.
"Bagaimanapun, Kelantan juga telah bersedia untuk perlawanan itu nanti," katanya.
Beliau demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di Seri Puri Bukit Marak, Kota Bharu semalam.
Azman turut memberitahu, pengendali Kelantan, Bojan Hodak akan membuat rombakan kecil bagi menghadapi perlawanan itu nanti.
"Mohammad Ghaddar akan kembali semula ke pangkuan pasukan selepas penggantungan satu perlawanan sebelum ini.
"Kehadiran Ghaddar dijangka menguatkan lagi jentera serangan pasukan. Namun, semuanya terserah kepada kebijaksanaan Bojan Hodak untuk menyusun strategi bagi menumpaskan Kedah," ujarnya.
Dalam pada itu, Azman berharap penyokong setia Kelantan supaya tidak terlalu memberi tekanan kepada barisan The Red Warriors sebaliknya terus menyokong agar pemain dapat turun dengan semangat baharu bertemu Sang Kenari.
"Terlalu banyak kritikan diterima para pemain akibat rasa tidak puas hati (penyokong) selepas kekalahan kepada Terengganu Rabu lalu hingga ada pemain yang berasa tertekan. Saya harap perkara itu tidak berterusan kerana Kelantan masih ada lima lagi pertemuan untuk ditempuhi.
"Kelantan bukannya tidak bermain dengan baik tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi apabila banyak percubaan terus ke gawang digagalkan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee," ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k