Selasa, Ogos 28, 2012

Tévez mahu kekal bersama City





TÉVEZ (tengah) bersetuju menyambung kontraknya dengan City meskipun perjanjian asal masih berbaki dua tahun.


LIVERPOOL - Penyerang kontroversi Argentina, Carlos Tévez menyuarakan hasrat untuk terus kekal bersama Manchester City, sekali gus bersetuju menyambung kontraknya yang masih berbaki dua tahun.
Tévez mengakui bahawa dia sudah melupakan perselisihan faham dengan pengurus, Roberto Mancini yang menyebabkan dia diketepikan untuk satu tempoh yang panjang musim lalu.
Namun, jaringan penyamaan dramatiknya ketika mengikat Liverpool 2-2 pada aksi Liga Perdana England di Stadium Anfield awal pagi semalam telah membuka hatinya untuk kekal lebih lama di Eastland.
Pada perlawanan tersebut, Martin Škrtel meletakkan skuad The Reds di depan pada minit ke-33 sebelum Yaya Touré mengikat kedudukan (ke-62).
Dua minit kemudian, Luis Suárez kembali meletakkan Liverpool di depan sebelum Tévez menyelamatkan maruah City dengan gol penyamaan pada minit ke-80.
"Nampaknya, saya sudah tiada masalah untuk kekal di sini (City). Walaupun masih ada kontrak dua tahun lagi tetapi saya mungkin kekal lebih lama.
"Musim baharu ini nampak semuanya bagus buat saya. Saya hilang berat tujuh kilogram dan ia baik untuk semua pihak.
"Musim lalu memang sukar tetapi sebaik saya kembali bermain, kami muncul juara liga. Itulah detik manis saya musim lalu.
"Kini segala-galanya telah berubah. Semua orang gembira. Saya gembira, Mancini gembira dan kelab juga gembira. Semua masalah telah berakhir," katanya.
Bagi Mancini, dia berpuas hati dengan prestasi Tévez ketika ini dan tiada masalah untuk mengekalkan pemain itu di City.
"Jika dia beraksi seperti ini, sudah pasti dia boleh kekal di sini," katanya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k