Memaparkan catatan dengan label 000. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 000. Papar semua catatan

Sabtu, Ogos 18, 2012

Pandelela terima RM300,000






NAJIB bersalaman dengan Pandelela sambil diperhatikan ibu bapanya, Hartini (kiri) dan Pamg, pada majlis meraikan kemenangan pingat gangsa Sukan Olimpik di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam meraikan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2012 dalam acara terjun 10 meter platform di pejabatnya di sini.
Sebagai penghargaan kerajaan, Najib menyampaikan sumbangan bernilai RM300,000 iaitu Skim Hadiah Kemenangan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) sebanyak RM100,000 dan Amanah Saham Wawasan sebanyak RM200,000 kepada Pandelela atas kejayaan mengharumkan nama negara pada kejohanan berprestij itu.
Perdana Menteri juga menyerahkan surat tawaran biasiswa penuh kerajaan daripada Yayasan Tun Abdul Razak untuk membolehkan atlet negara itu melanjutkan pelajaran dalam jurusan pilihannya di Universiti Tun Abdul Razak.
Dalam pertemuan selama 10 minit itu, Najib memberi jaminan kerajaan sedia menghulurkan segala jenis bantuan bagi membolehkan atlet muda itu meningkatkan prestasi dan seterusnya mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa.
"Adakah kamu komited untuk Rio (Kejohanan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016) dan apa lagi yang kamu perlukan? Semua sudah cukup?" tanya Najib dengan senyuman kepada Pandelela.
Najib juga bertanya perasaan Pandelela sewaktu melakukan terjunan dari ketinggian 10 meter pada pertandingan itu.
"Kamu gementar tak ketika hendak mula," tanya Najib.
"Ya, tetapi selepas itu saya rasa teruja," kata Pandelela.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim, Ketua Kontinjen Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong.
Hadir sama, ibu bapa Pandelela, Hartini Lamim dan Pamg ak Joheng, serta jurulatih, Yang Zhuliang.
Pada Sukan Olimpik London 2012, gadis Bidayuh berusia 19 tahun itu mengumpul 359.20 mata pada acara 10m platform di belakang Chen Ruolin dari China yang berjaya mempertahankan kejuaraannya dengan 422.30 mata manakala Britanny Broben dari Australia meraih pingat perak selepas mengutip 366.50 mata. - Bernama

Rabu, November 23, 2011

Menang Bola : Setiap Seorang Pemain, dan Pegawai Pasukan Bola Sepak Mendapat RM 30,000

Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee bersama anak-anak buahnya menerima sambutan meriah penyokong skuad kebangsaan sejurus tiba dari Jakarta di Terminal Penerbangan Tambang Murah, Sepang semalam.


PELUH pun belum kering, ganjaran RM30,000 telah menanti setiap pemain dan pegawai pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara sebaik mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2011 kelmarin.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, presiden, Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan wang ganjaran itu bagi mengenang jasa kesemua pegawai dan pemain yang bertungkus-lumus menewaskan Indonesia menerusi sepakan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi sebenar permainan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Menurutnya, baginda bertitah, kemenangan kali ini juga begitu istimewa lantaran menang dalam dua perlawanan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.
"Ia merupakan kurniaan peribadi baginda yang berkenan memberikan ganjaran RM30,000 setiap seorang kepada semua pemain termasuk pegawai.
"Pada masa sama, FAM juga akan memberikan ganjaran kepada kesemua pemain tidak kira yang beraksi ataupun tidak pada masa terdekat ekoran kejayaan mereka," katanya.
Hamidin yang juga Pengerusi Jawa- tankuasa Pertandingan Tempatan FAM sebelum itu mempengerusikan mesyuarat berhubung Liga Malaysia (Liga-M) 2012 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah.
Hamidin memberitahu, skuad bimbi- ngan Ong Kim Swee juga akan berlepas ke Sydney, Australia selama dua minggu pada pertengahan Disember depan bagi diuji sekurang-kurangnya tiga kelab terkemuka di sana.
Dalam pada itu, nasib sama ada dua pasukan, impian Pahang dan Perlis untuk kembali semula ke saingan Liga Super selepas tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan juga masih samar.
Menurut Hamidin, buat masa ini pihaknya masih belum membuat keputusan sama ada mahu menambah bilangan 14 pasukan yang telah layak ke Liga Super, dan sebarang maklumat lanjut berhubung perkara itu hanya akan diketahui selepas ia dibentangkan ke mesyuarat Exco tidak lama lagi.
"Mengikut perbincangan awal, 14 pasukan akan bersaing dalam saingan Liga Super bagi musim depan sebelum hanya 12 pasukan sahaja yang akan bertanding pada 2013," katanya.







t

k