Di Port-Au-Prince, Haiti, penduduknya tergolong miskin. Apakah makanan tengah hari mereka? Ya, biskut lumpur. Bukan kerana rasanya yang enak, tetapi sebab terpaksa. Inilah yang dilalui oleh Charlene Dumas dan keluarganya yang merupakan sebahagian penduduk di Port-Au-Prince .
Dengan kenaikan harga makanan, masyarakat paling miskin di Haiti tidak mampu membeli sepiring nasi untuk mengisi perut yang lapar dengan makanan. Keadaan ini memaksa mereka mengambil langkah yang mungkin anda tidak dapat bayangkan semata-mata untuk mengganjal perut.
Charlene, 16, bersama bayi lelakinya yang baru berusia sebulan, terpaksa bergantung kepada sejenis penawar kelaparan tradisional masyarakat Haiti iaitu biskut yang diperbuat daripada lumpur kuning yang dikeringkan.
SEORANG penduduk merasai biskuit sebelum membelinya.
"Apabila ibu saya tidak memasak, saya terpaksa makan biskuit ini tiga kali sehari," kata Charlene.
Anaknya, Woodson yang berbaring di atas pahanya kelihatan lebih kurus berbanding beratnya yang mencecah enam paun sewaktu lahir.
"Apabila saya menyusukan Woodson, bayi saya ada kalanya kelihatan tidak selera, kerana perutnya mulas-mulas", katanya.
Di pasar kawasan orang miskin La Saline, dua pinggan nasi dijual pada harga 60 sen. Harga tersebut telah dinaikkan sebanyak 10 sen sejak bulan Desember lalu.
Harga kacang, susu dan buah-buahan juga meningkat pada kadar yang sama. Malah, harga untuk tanah liat yang boleh dimakan turut mengalami peningkatan yang hampir mencecah RM4.85 dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
BISKUT lumpur yang siap akan dipasarkan di jalanan.
Menurut pembuat biskut, harga lumpur untuk menghasilkan 100 keping biskut kini bernilai sekitar RM16. Itu pun pada harga sekitar 5 sen sekeping biskut lumpur masih menjadi rebutan. Kira-kira 80 % warga Haiti menjalani kehidupan kurang daripada RM6.40 sehari perolehan pendapatan.
Trak-trak pedagang akan membawa bertong-tong lumpur ke pasar La Saline dari pusat bandar Hinche dan akan kelihatan puluhan wanita berebut membeli bahan tersebut untuk diproses menjadi biskut.
Dengan mengangkat beberapa tong lumpur dan air sambil menaiki anak tangga menuju kebagian atap sebuah bekas penjara, batu-batuan dan kerikil lumpur dipisahkan dengan sehelai kertas sebelum bahan-bahan tadi diolah bersama sedikit garam.
Adunan kemudian dibentuk menjadi biskuit bulat dan dibiarkan kering di bawah sinar terik matahari. Biskuit-biskuit yang telah kering, dimasukkan ke dalam tong untuk dijual di pasar atau tepi-tepi jalanan.
Seorang wartawan yang mencuba sekeping biskut tersebut mendapati ia memiliki ketebalan dan licin, dan jika terkena lidah, ia mampu menyerap semua lembaban dalam mulut.
Lumpur mengandung toksin atau parasit yang dapat membawa maut. Namun, menurut seorang profesor imunologi dari Universiti State Colorado yang mengkaji pemakanan lumpur, Gerald N. Callahan menjelaskan, lumpur juga berpotensi memperkuatkan tahap imun janin dalam rahim terhadap beberapa jenis penyakit.
BISKUT dikeringkan di bawah sinaran matahari terik.
Para doktor di Haiti berkata, mereka yang bergantung kepada biskut-biskut tersebut untuk makanan sebenarnya sangat berisiko terhadap malnutrisi. "Jika saya melihat orang makan biskut-biskut itu saya akan melarangnya, " kata Dr. Gabriel Thimothee, seorang pengarah eksekutif di Kementerian Kesihatan Haiti .....
Seorang ibu, Marie Noel, 40, yang menjual biskut-biskut tersebut di pasar menampung kehidupan tujuh orang anaknya berkata, seluruh keluarganya bergantung kepada biskut ini. "Saya harap suatu hari nanti, saya mempunyai makanan yang mencukupi dan tidak lagi perlu makan benda-benda ini. Saya tahu ini tidak menyihatkan, " katanya. – AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan