SIBU - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan kejayaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg meraih gangsa pada Sukan Olimpik 2012 di London sebagai simbol kemerdekaan negara ke-55.
Beliau berkata, kejayaan Pandelela itu berjaya memberi keyakinan tinggi kepada masyarakat bahawa mereka mampu meraih kejayaan di peringkat dunia jika bermotivasi tinggi untuk mencapainya.
"Kita bersyukur kepada Allah kerana seseorang yang memimpin kepada sumpah ikrar dan meneruskan perjuangan dalam Rukun Negara ialah seorang yang bersejarah bagi Sarawak iaitu Pandelela Rinong.
"Dia adalah wanita pertama di Sarawak dan negara yang memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik dengan mencecah gelanggang dunia sekali gus menunjukkan kebolehan kita sudah meningkat," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Sibu di sini semalam.
Hadir sama Yang Dipertua negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah; isteri Abdul Taib, Puan Sri Ragard Kurdi Taib serta barisan kabinet negeri.
Terdahulu, kehadiran Pandelela pada sambutan hari kemerdekaan ke-55 peringkat negeri di sini mendapat tepukan serta sorakan gemuruh daripada lebih 5,000 peserta perhimpunan merdeka dan orang ramai.
Ratu penerjun negara itu telah diberi penghormatan melaungkan ikrar serta prinsip-prinsip Rukun Negara sebelum menyerahkan skrol ikrar kepada Abang Muhammad Salahuddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan