Ahad, September 09, 2012

Perlawanan Bola Sepak : Malaysia vs Indonesia Siaran Langsung di Astro 801 malam ini





DUTA Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan memberi kata-kata semangat kepada skuad Harimau Muda di Menteng, Jakarta semalam.


PENGALAMAN beraksi di gelanggang keramat - Gelora Bung Karno di Jakarta, Indonesia malam ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh Harimau Muda ketika berdepan skuad bawah 22 tahun (B-22) Indonesia.
Bagi pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, pengalaman anak-anak buahnya beraksi di hadapan ribuan penyokong fanatik Indonesia nanti mampu menjadi 'bekalan' terbaik buat mereka sebelum beraksi pada Sukan SEA di Myanmar tahun depan.
Menurut Kim Swee, cabaran yang bakal di hadapi Harimau Muda di bumi Myanmar nanti lebih getir jika hendak dibandingkan dengan aksi di Gelora Bung Karno.
Justeru, Kim Swee berharap barisan pemainnya dapat mengambil peluang dengan sebaik mungkin ketika beraksi di hadapan ribuan penyokong Indonesia malam ini.
"Saya mahu mereka (para pemain Harimau Muda) menyesuaikan diri dengan suasana bingit apabila beraksi di Gelora Bung Karno.
"Sekiranya barisan pemain saya tidak boleh mengawal tekanan di Gelora Bung Karno, sudah pasti mereka akan menghadapi masalah lebih besar di Myanmar nanti.
"Saya menjangkakan situasi yang lebih teruk bakal berlaku apabila kami beraksi pada Sukan SEA tahun depan di Myanmar," jelas Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Jakarta semalam.
Kim Swee berkata, anak- anak buahnya harus bersedia dari segi mental dan fizikal lebih awal sekiranya berhajat mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2013.
"Selaku juara bertahan (pemenang pingat emas Sukan SEA), saya yakin para pemain akan saya akan diuji dengan pelbagai provokasi.
"Jadi jika mereka gagal melepasi tekanan di Gelora Bung Karno, maka mungkin ia memberikan kesan kepada kami dalam usaha untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar.
"Saya berharap mereka dapat memanfaatkan peluang yang ada sebelum membawa 'bekalan' pengalaman terbaik ke Myanmar tahun depan," katanya.
Kim Swee menambah, pertemuan menentang skuad B-22 Indonesia dalam kejohanan jemputan - Piala SCTV - malam ini dianggap medan terbaik buatnya bagi menilai prestasi barisan pemain baharu Harimau Muda.
"Saya tidak kisah sama ada kalah atau menang dalam perlawanan tersebut nanti.
"Saya hanya mahu melihat beberapa pemain baharu dapat memberikan aksi terbaik mereka.
"Pada masa yang sama, saya mahu mengenal pasti pemain-pemain yang dapat diketengahkan ke peringkat lebih kompetitif," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k