Ahad, September 02, 2012

Piala Malaysia 2012 : Kelantan Bangkit Benam ATM.




Ketinggal satu jaringan tidak mematahkan The Red Warriors untuk bangkit menewaskan pendahulu kumpulan B, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-3 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.


Beraksi di kandang sendiri, Kelantan tidak diberi laluan mudah sehinggalah jaringan kemenangan dilakar Nurul Azwan Roya pada minit-minit akhir perlawanan.

Pada permulaan babak pertama, Sang Kijang menguasai perlawanan dengan mengatur pelbagai serangan melalui rangkaian Norshahrul Idlan Talaha, Indra Putra dan Norfarhan.

Usaha keras mereka berhasil pada minit ke-8 apabila hantaran lintang Indra Putra gagal dikeluarkan pertahanan ATM untuk memberikan Norfarhan satu sepakan yang disambung masuk oleh Afiq Azmi.

Jaringan pertama tuan rumah tidak mudah mematahkan semangat ATM untuk sama rancak melakukan serangan kearah kubu Kelantan.

Mereka banyak mencuba tetapi kesemua peluang yang dicipta gagal menembusi gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat.


Sehinggalah kesilapan barisan pertahanan Sang Kijang pada minit ke-26, Bruno Martelotto melepasi kawalan tiga pemain sebelum melakukan satu hantaran pendek untuk dijaringkan Marlon Alex James.


Hanya berselang tiga minit, Kelantan didepan sekali lagi apabila Norshahrul Idlan Talaha yang menerima hantaran dari sebelah kanan menggelecek dua pemain lawan sebelum melepaskan satu rembatan kencang menewaskan Farizal Harun buat kali kedua.

Bagaimanapun, Marlon terus menghukum kelalaian benteng tuan rumah dengan jaringan dari jarak dekat setelah menerima hantaran yang dilakukan oleh Bruno Martelotto pada minit ke-35.

Ketika perlawanan separuh masa hampir berakhir, Hairudin Omar yang menerima hantaran jauh Aidil Zafuan Razak bijak memperdayakan Obinna dan Khairul Fahmi untuk gol ketiga kepada ATM.

Bersambung babak kedua, ATM terus bernafsu melakukan serangan bertubi-tubi kearah pintu gol Kelantan tetapi gagal menemui sasaran.

Bermula dengan sepakan percuma Irwan Fadzli diselamatkan Khairul Fahmi, Marlon turut hampa apabila tandukan didepan pintu gol turut ditepis keluar penjaga gol Kelantan tersebut.

Menyedari perlu mencari gol penyamaan, Kelantan mengatur satu serangan balas dan hampir menjaringkan gol tetapi Farizal Harun lebih bersedia menepis sepakan Norfarhan hasil hantaran sepakan percuma Badri Radzi pada minit ke-57.


Selang empat minit kemudian, Afiq Azmi kecewa apabila sepakan lencong ketika berhadapan dengan Farizal melambung tinggi.


Percubaan deras Shakir Shaari dari luar kotak penalti pada minit ke-68 juga ditangkap kemas penjaga gol ATM.

Dua minit selepas itu, Indra yang melarikan bola dari sebelah kiri menyaksikan sepakan deras melewati palang gol.

Asakan bertali arus akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-75 apabila satu hantaran lintang yang dilakukan Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kiri ditanduk masuk Norfarhan Mohamad.

Gerakan solo Mohd Badri Radzi dari kawasan tengah pada minit ke-76 pula melencong keluar biarpun Farizal sudah tertewas.

Bagi menambah sengat, Nurul Azwan dimasukkan bagi mengantikan Afiq Azmi.

Dia tidak menunggu lama untuk mencipta impak apabila gerakan yang diatur pemain ini bersama pemain lain berjaya mengucar kacirkan pertahanan pelawat.

Pada minit ke-85, stadium akhirnya bergema dengan sorakan gol para penyokong apabila Nurul Azwan Roya menghukum kegagalan pertahanan ATM mengeluarkan bola dari kawasan mereka dengan satu rembatan separa libas untuk menewaskan Farizal Harun buat kali keempat.

ATM yang tertekan dengan jaringan pendahulan Kelantan cuba mengatur beberapa serangan tetapi kesemua peluang yang diperoleh termasuk tandukan Hairudin Omar dari jarak dekat pada minit-minit akhir tidak menepati sasaran untuk membolehkan Sang Kijang memungut tiga mata penuh.

Kesebelasan Utama

Kelantan : Bojan Hodak
Khairul Fahmi (PG), Obinna Nwaneri, S. Subramaniam (Aslam Najmudeen), Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree (Nik Shahrul Azim), Badri Radzi (Kp), Shakir Shaari, Indra Putra, Norfarhan Mohamad, Afiq Azmi (Nurul Azwan) dan Norshahrul Idlan.

ATM : B. Sathianathan
Farizal Harun (Pg), Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Marlon Alex, Bruno Martelotto, Azmi Muslim, Fitri Omar, Christie Jayaseelan, Hairudin Omar (Kp), Irwan Fadzli dan Rezal Zambery Yahya.


sumber : Here



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k