Selasa, September 11, 2012

'Pintu hati' Rajagobal masih terbuka





RAJAGOBAL (kiri) bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Hoang Anh Tuan selepas sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


SIAPA yang dapat mengetuk ‘pintu hati’ Datuk K. Rajagobal?Itu teka-teki yang masih belum terjawab mengenai senarai 35 pemain Harimau Malaya yang bakal menggalas tanggungjawab mempertahankan trofi Piala AFF Suzuki pada November depan.
Mengakui sudah mendapat ‘ilham’ berhubung perkara itu, Rajagobal begitupun enggan tergesa-gesa membuat keputusan muktamad.
Sebaliknya, jurulatih Harimau Malaya itu masih memberi peluang kepada mana-mana pemain yang berjaya mempamerkan aksi ‘luar biasa’ dalam siri episod perlawanan persahabatan antarabangsa serta sepanjang kempen Piala Malaysia, bermula dengan pertemuan menentang Vietnam di Stadium Shah Alam malam ini.
“Bayangan awal (senarai pemain) sudah ada, cuma saya tidak mahu tergesa- gesa.
“Justeru, saya akan meneliti terlebih dahulu aksi kesemua pemain sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Mengenai pertembungan malam ini, Rajagobal sekali lagi menegaskan, keputusan perlawanan tidak dijadikan ukuran oleh beliau yang lebih menumpukan fokus terhadap saingan Piala AFF Suzuki nanti.
“Mana-mana jurulatih pastinya mahukan kemenangan, cuma momentum persembahan pemain sebagai satu pasukan lebih menjadi keutamaan,” jelasnya sambil tidak menolak kemungkinan sekadar menurunkan pasukan kedua malam ini bagi mengelak kekuatan pasukannya ‘diintai’ pasukan lain.
Ketika ditanya mengapa tidak memanggil Muslim Ahmad bagi menggantikan S. Subramaniam yang tercedera, sebaliknya hanya menyenaraikan Baddrol Bakhtiar yang bukannya pemain pertahanan, tegas Rajagobal:
“Saya kehilangan dua pemain yang turut cedera di bahagian serangan (Ahmad Shakir Md Ali dan Khyril Muhymeen), sebab itu Baddrol dipanggil. Ini sekali gus menamatkan spekulasi bahawa Muslim diketepikan gara-gara kontroversi dengan Terengganu baru- baru ini.”
Dalam pada itu, pembantu jurulatih Vietnam, Hoang Anh Tuan mahu anak- anak buahnya mempelajari sesuatu daripada Malaysia malam ini.
Tampil tanpa pemain utama, Viet Chong yang tercedera katanya, tidak akan dijadikan alasan kerana pasukannya mahu menguji enam pemain baharu menjelang Piala AFF Suzuki nanti.
“Kami mahu mempelajari sesuatu dari anda (Malaysia) yang sudah lama menggunakan jurulatih tempatan berbanding kami yang sering mendapatkan khidmat jurulatih import sebelum ini.
“Biarpun hanya sempat berlatih selama empat hari, kami tidak sabar menguji kemampuan tuan rumah selaku juara bertahan sekali gus menebus kekecewaan kami yang ditewaskan Malaysia pada separuh akhir Piala AFF Suzuki dua tahun lalu,” katanya sambil menegaskan, tiada pemain naturalisasi dalam skuadnya pada kejohanan kali ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k