Sabtu, September 01, 2012

[ sedih ] 'Ayah, kenapa hidung saya lain?'





Misrawi menunjukkan keadaan lebihan ketulan daging di hidung Nor Maja


JOHOR BAHRU – “Ayah... kenapa dengan hidung saya, ya? Kenapa hidung abang dan kawan-kawan tak macam saya,” sayu hati seorang bapa, Misrawi Ali, 50, setiap kali diajukan soalan sedemikian oleh anak bongsunya.


Misrawi berkata, untuk menggembirakan hati anaknya, Nor Maja Misrawi, 5, dia terpaksa memberitahu lebihan ketulan daging di hidungnya itu akan dibedah tidak lama lagi.


Menurutnya, hakikat yang sebenar dia sendiri tidak mahu lagi berharap selepas pihak sebuah hospital kerajaan, di sini menyuruhnya menunggu daripada Nor Maja bayi sehinggalah kini berusia lima tahun.


“Selama lebih empat tahun saya berulang-alik ke hospital membuat pemeriksaan kerana doktor beritahu anak saya boleh dibedah, tapi selepas itu saya diberitahu pihak hospital tidak dapat buat pembedahan pula.


“Mungkin masa tu anak saya belum lagi mendapat sijil pengesahan taraf kewarganegaraan sehingga doktor beritahu kena berurusan dengan hospital di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Taman Sentosa, di sini, semalam.


Misrawi berkata, walaupun dia bersama isterinya, Piatun Tamat, 37, berasal dari Indonesia, tetapi dia sudah memiliki status penduduk tetap termasuk anak lelakinya yang turut memperoleh MyKad selepas hampir 30 tahun memasuki negara ini.


Menurutnya, keadaan fizikal anaknya yang tidak sempurna itu dibimbangi bakal menakutkan kanak-kanak lain sehingga pendaftaran sekolah untuk Tahun Satu belum lagi diuruskan.


“Kalau boleh saya mahu anak saya dibedah terlebih dahulu sebelum dia memasuki sekolah kerana bimbang keadaan fizikalnya boleh mengganggu kanak-kanak lain.


“Bagaimanapun saya bingung hendak merujuk kepada siapa kerana jika pembedahan dibuat di hospital swasta memang saya tak mampu dengan pendapatan sebagai pekerja kontrak,” katanya.


Sinar Harian turut dimaklumkan, lebihan ketulan daging di bahagian hidung Nor Maja sejak dari lahir itu tidak mendatangkan kesakitan, tetapi akan membesar mengikut perkembangan badan kanak-kanak berkenaan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k