Sabtu, September 01, 2012

Suarez penyelamat



SUAREZ (kanan) meraikan jaringannya bersama Steven Gerrard ketika menentang Hearts di Anfield semalam.


LONDON - Gol lewat penyerang berbisa, Luis Suarez berjaya menyelamatkan maruah Liverpool daripada tersingkir awal dalam kempen Liga Europa apabila sekadar seri 1-1 dalam perlawanan keduaplayoff di Anfield awal pagi semalam.
Dengan keputusan itu, The Reds mengesahkan slot ke peringkat kumpulan apabila mara menerusi agregat 2-1 setelah menang tipis 1-0 di tempat lawan minggu lalu.
Beraksi di depan penyokong sendiri, skuad kendalian Brendan Rodgers terlebih dahulu ketinggalan apabila kesilapan mudah penjaga gol, Pepe Reina yang gagal menangkap kemas percubaan David Templeton pada minit ke-85.
Ia merupakan kesilapan kedua Reina musim ini selepas dia turut membuat kesilapan yang hampir sama ketika Liverpool seri 2-2 dengan Manchester City dalam aksi Liga Perdana England di Anfield, Ahad lalu.
Reina harus mengucapkan terima kasih kepada Suarez yang berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian, sekali gus menghalang hasrat Hearts untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
"Objektif utama kami ialah mahu melangkah ke peringkat kumpulan dan kami berjaya melakukannya.
"Kesilapan Reina juga tidak mengecewakan saya kerana dia masih beraksi dengan baik.
"Saya rasa dia kurang bernasib baik, mujurkan kesilapan Reina berjaya ditebus semula pemain lain," kata Rodgers.
Pada masa sama, Rodgers juga memuji persembahan Suarez yang berterusan meledak gol selepas penyerang antarabangsa Uruguay itu turut melakukannya ketika menentang City tempoh hari.
"Saya rasa skuad kami masih memerlukan masa untuk memecah kebuntuan (semalam), syukurlah Suarez berjaya menyelamatkan keadaan," katanya.
Dalam pada itu, Inter Milan dan Marseille turut mengiringi Liverpool ke peringkat kumpulan apabila mengatasi lawan masing-masing awal pagi semalam.
Inter mara dengan agregat 4-2 biarpun dilihat bergelut melakar keputusan seri 2-2 dengan kelab Romania, Valui gara-gara terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Luca Castellazzi dilayangkan kad merah pada minit ke-33. - AP



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k