|
LONDON - Isteri Putera William, Catherine akan memberikan ucapan pertamanya di luar negara apabila beliau dan suaminya melawat Asia Tenggara dan Asia Pasifik termasuk Malaysia pada bulan depan.
Kunjungan pasangan diraja Britain itu adalah sempena pemerintahan 60 tahun Ratu Elizabeth II.
Ketika mengumumkan perkara tersebut kelmarin, Istana St. James menyatakan, Catherine yang dahulunya dikenali sebagai Kate Middleton akan berucap di hadapan sejumlah pesakit dan staf sebuah hospis di Malaysia.
Kini memakai gelaran rasmi Duke dan Duchess of Cambridge, atur cara pertama mereka adalah menghadiri majlis penamaan orkid di Singapura.
Dua spesies bunga itu akan dinamakan sempena nama William dan Catherine.
"Matlamat kunjungan ini adalah untuk meraikan Jubli Berlian Ratu Elizabeth II," kata setiausaha sulit mereka, Jamie Lowther-Pinkerton.
"Lawatan tersebut melibatkan beberapa atur cara rasmi dan tidak rasmi yang bersesuaian dengan karakter serta minat Duke dan Duchess of Cambridge," tambahnya.
Pasangan diraja itu akan berada di Singapura dari 11 hingga 13 September ini dan dijadualkan tiba di Malaysia untuk lawatan ke Kuala Lumpur serta Sabah selama tiga hari. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan