MOSCOW - Dua orang wanita ditemui mati akibat ditikam di dalam sebuah pangsapuri di sini pada Khamis, bersama tulisan "Bebaskan Pussy Riot" ditulis di dinding dipercayai menggunakan darah.
Kumpulan punk wanita, Pussy Riot mencetuskan ketegangan di Rusia apabila dikenakan hukuman penjara selama dua tahun kerana mengadakan satu protes terhadap presiden Rusia, Vladimir Putin di dalam sebuah gereja utama di sini.
Peguam anggota kumpulan Pussy Riot, Nikolai Polozov menegaskan bahawa anak guamnya dan penyokong mereka tidak terlibat dalam jenayah tersebut. Plozov juga menyatakan tulisan itu bertujuan menimbulkan provokasi dan memburukkan nama Pussy Riot.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Rusia, pesara berusia 76 tahun dan anak perempuannya, 38, itu mati akibat luka ditikam dengan pisau.
Rakaman stesen televisyen Rossiya menunjukkan ayat itu ditulis dengan huruf besar pada dinding dapur. Setakat ini, tiada sebarang hubungan jelas di antara mangsa dan Pussy Riot.
Pada Jumaat, pasukan penyiasat telah menahan seorang lelaki yang mengaku membunuh dua orang wanita dan cuba mengelirukan siasatan dengan menulis mesej mendesak pembebasan ahli kumpulan Pussy Riot. - Reuters
Tiada ulasan:
Catat Ulasan