KUALA LUMPUR - Segenap lapisan masyarakat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara semalam bukan sahaja dalam suasana aman bahkan dapat pula menjalani kehidupan yang jauh lebih selesa dan makmur berbanding lima dekad lalu.
Lebih menarik, mereka menterjemah perasaan syukur itu dengan turun padang untuk berhimpun bersama pemimpin bagi meraikan kemerdekaan yang sangat berharga itu.
Kira-kira 100,000 orang membanjiri Dataran Merdeka di sini pada sebelah pagi untuk menyaksikan perarakan dan persembahan lebih 14,000 peserta bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Keadaan sama turut berlaku di semua negeri apabila rakyat diketuai Menteri Besar dan Yang Dipertua Negeri masing-masing turut mengadakan perarakan kemerdekaan yang tersendiri.
Perhimpunan mega rakyat tidak berhenti setakat itu apabila pada sebelah malam, kira-kira 150,000 memenuhi setiap inci Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sempena Himpunan Merdeka 55 Tahun: Janji Ditepati.
Sehubungan itu, Najib dalam ucapannya mengajak rakyat Malaysia terus memperkukuh benteng perpaduan dalam mempertahan kemerdekaan negara yang dikecapi dan mahu setiap individu bersama-sama memacu negara ke arah mercu kejayaan lebih unggul.
Perdana Menteri juga menyeru rakyat untuk bersatu dan berusaha dengan kepimpinan negara bagi menjayakan agenda transformasi yang telah dan akan dilaksanakan.
Beliau berkata, setelah 55 tahun merdeka, Malaysia kini boleh dianggap sebagai sebuah negara yang berjaya dan semakin hari semakin kaya, makmur serta kuat.
"Beringatlah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu hanya mengetuk pintu setiap pertiwi sekali saja.
"Marilah berganding berjuang pertahan kemerdekaan ini dengan barisan yang rapat lagi kukuh di setiap penjuru dan setiap ketika.
"Lebih rapat lagi ketika pihak seteru dan pembangkang cuba memporak-perandakan negara kita," katanya.
Terdahulu, pada sebelah pagi, orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan 14,464 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Perarakan tersebut disifatkan oleh Najib sebagai bukti bahawa rakyat mempunyai semangat kecintaan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada negara.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan