Selasa, September 04, 2012

'Saya sedia disiasat'



















SHARBINEE (tengah) gagal menangkap kemas sepakan sudut yang diambil kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Sabtu lalu.


"JIKA betul saya 'jual perlawanan', panggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat saya. Saya tidak takut."
Demikian tegas penjaga gol utama Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli yang cukup kecewa apabila dikatakan menjadi punca skuad Peteh gagal meraih kemenangan ketika menentang Kedah pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia, Sabtu lalu.
Lebih mengejutkan apabila ada 'suara-suara' yang mendakwa Sharbinee sengaja 'menjual perlawanan' sehingga menyebabkan Terengganu sekadar seri 1-1 dengan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu.
Mengulas lanjut, Sharbinee mengakui, dia kecewa dengan dakwaan dia tidak memiliki semangat kesukanan sehingga dikatakan sanggup 'menjual perlawanan'.
"Saya cukup sayangkan Terengganu tetapi tidak bermakna sekiranya saya melakukan kesilapan, saya sengaja 'menjual perlawanan'.
"Sepanjang beraksi bersama Terengganu sejak 2006, saya sentiasa memberikan aksi terbaik buat pasukan tetapi dakwaan itu seolah-olah satu penghinaan kepada saya.
"Saya cukup kecewa dengan tuduhan itu yang mana saya dianggap seperti tiada maruah diri.
"Panggil sahaja SPRM, saya tidak akan lari ke mana-mana sekiranya mereka yang mendakwa ada bukti dengan tuduhan itu," kata Sharbinee ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Begitupun, tiga kad merah 'mewarnai' pertemuan tersebut yang menyaksikan aksi tegang pemain antara kedua-dua pasukan.
Akibatnya, dua pemain Kedah iaitu penjaga gol, Mohd. Helmi Eliza Elias dan Wan Mohd. Shukri Wan Ahmad serta penyerang import Terengganu, Francis Forkey Doe diarah keluar padang.
Dalam pada itu, Sharbinee sekali lagi memohon maaf atas tindakannya bertindak membaling botol ke arah jurulatih Terengganu, Peter James Butler.
"Saya tengah marah. Semua orang tengah marah memang tak dapat nak kawal emosi, lebih-lebih lagi saya ditolak (oleh Butler) selepas digantikan dengan Mohd. Sharmiza Yusoff buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri.
"Saya minta maaf kerana gagal mengawal perasaan itu apabila dimaki hamun (oleh Butler) tetapi kenyataan mendakwa saya menjual perlawanan itu sangat tidak berasas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k