PEMANAH elit negara, Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama kepada kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik 2012 apabila meraih perak semalam.
Pada saingan akhir acara recurve individu lelaki W1/W2 di Lapang Sasar Memanah Royal Artillery Barrack, London, Hasihin tumpas kepada Oscar de Pellegrin dari Itali dalam pusingan penentuan selepas kedua-dua pemanah itu terikat 5-5 selepas lima set.
Turut menyaksikan kejayaan cemerlang Hasihin itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik London, Datuk Seri Zolkples Embong; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Shapawi Ismail; Penaung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Tun Jeanne Abdullah dan Presiden MPM, Datuk Zainal Abu Zarin.
"Saya memang tidak fikir apa-apa... syukur kepada Allah atas kejayaan pingat perak ini. Pencapaian ini adalah yang terbaik sepanjang setahun saya melibatkan diri dalam sukan memanah.
"Saya tidak pernah bertemu dia (Oscar) sebelum ini, jadi saya hanya fokus dan cuba memberikan saingan yang terbaik," katanya.
Hasihin berkata, dia juga gembira kerana berjaya melunaskan impian bekas pemanah elit paralimpik negara, Allahyarham Mohd. Salam Sidik untuk mengalahkan pemanah Iran, Ebrahim Anjbarkivaj dalam saingan separuh akhir.
"Saya ingat lagi arwah pernah kata dia hendak kalahkan pemanah Iran itu suatu hari nanti. Saya pegang kata-kata arwah itu dan bila berjumpa Ebrahim, saya berjaya kalahkan dia," kata pemanah berusia 27 tahun itu yang pertama kali beraksi pada Sukan Paralimpik.
Terdahulu pada saingan separuh akhir, Hasihin yang turut terikat dengan kedudukan 5-5, berjaya melepasi pusingan penentuan apabila memperoleh 10 mata berbanding Ebrahim yang hanya meraih lapan mata.
Hasihin akan meneruskan cabaran negara dalam acara recurve berpasukan bersama Zulkifli Mat Zain dan Mohd. Zafi Rahman Mat Salleh.
Sementara itu, Zolkples berkata, kejayaan Hasihin semestinya menggembirakan kem Malaysia pada temasya kali ini.
"Ia satu kejayaan yang akan diraikan semua rakyat Malaysia. Kejayaan meraih pingat perak oleh Hasihin hari ini (semalam) telah memperbaiki pencapaian empat tahun lepas dengan hanya satu pingat gangsa.
"Jika dilihat kepada laluan Hasihin , beliau menghadapi laluan sukar tetapi telah menunjukkan prestasi penuh yakin.
"Di peringkat suku akhir, Hasihin berjaya kalahkan pemenang pingat emas (Sukan Paralimpik) Beijing dan kemudian atlet nombor satu dunia dari Iran di separuh akhir," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan