Jumaat, Mac 01, 2013

Rasmi: Krisis Berdarah Di Lahad Datu : Tiga terbunuh, 10 serah diri




Pencerobohan pengikut sultan Sulu sejak 17 hari lalu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, berakhir petang ini selepas berlaku tembak menembak antara kumpulan itu dengan pasukan keselamatan Malaysia, dengan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh, termasuk dua anggota komando polis Malaysia.

Kedua-duanya terbunuh dalam serangan mortar. Pemilik rumah tempat adik sultan Sulu - Azzimudie Kiram - tinggal, turut terbunuh dalam kejadian itu.

Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 pengikutnya terbunuh dan empat lagi cedera tetapi Manila sedang mengesahkan dakwaan tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa pihak polis akan mengadakan sidang media di Lahad Datu kira-kira 5 petang ini berhubung operasi pasukan keselamatan terhadap kumpulan penceroboh itu.

Dua komando polis terbunuh dalam serangan mortar oleh kumpulan tersebut manakala dua lagi cedera.
 
Wartawan telah diarahkan keluar dari lokasi kejadian atas sebab keselamatan.
 
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yusof memberitahu Bernama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telahpun berada di Sabah.

Dua komando polis Malaysia itu terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina hari ini.

Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.
 
"Sehingga kini tiada pengesahan polis, kami hanya melihat mayat dengan boot hijau diusung ke dalam trak tersebut," katanya yang terpaksa keluar dari kawasan Felda itu setelah diarahkan pihak berkuasa.

Pada 2 petang, beliau berkata pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku.
 
Setakat ini, tiada pihak berkuasa boleh mengesahkan identiti anggota yang maut.

Sementara itu, seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."

Idjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.

Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.

Akhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.

Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.

Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.

Sementara itu, Azzimudie memberitahu Radio dzMM Filipina bahawa kumpulannya tidak akan kembali ke Filipina kerana ia akan "memalukan" mereka dan kesultanan Sulu.

"Kita tidak boleh pulang ke Filipina kerana ia akan memalukan kita. Kami telah menegaskan niat kami datang ke sini," Azzimudie dipetik sebagai berkata.

Menurutnya, dia dan 275 pengikutnya mahu tinggal di Kampung Tanduo di Lahad Datu manakala kerajaan Filipina sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan isu itu.

"Mereka boleh meneruskan rundingan secara aman...," tambahnya.

Manakala Sultan Sulu Jamalul Kiram memberitahu Radio dzMM bahawa dia tidak akan memerintahkan pengikutnya untuk menyerah diri walaupun berlaku kejadian berbalas tembak, tetapi menegaskan pintu rundingan masih terbuka.

Menurut ANC Dateline Filipina, jurucakap Sultan Sulu Jamalul Kiram - Abraham Idjirani - kesultanan itu tidak akan membalas dendam terhadap kematian pengikutnya, dan menegaskan kumpulan itu mahu ia diselesaikan secara aman.

Idjirani berkata mereka akan membawa perkara itu ke perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan mungkin meminta Pertubuhan Persidangan Islam untuk campurtangan.

The Philippine Inquirer pula memetik Jamalul Kiram menafikan laporan bahawa adiknya, Azzimudie telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

Idjirani berkata, keluarga diraja itu masih dapat bercakap dengan Azzimudie, yang disebut sebagai Raja Muda.

"Kita bercakap dengan beliau. Beliau tidak cedera dan masih mengetuai perjuangan itu, " katanya.

Sekitar jam 3.25 petang tadi, Jabatan Luar Filipina berkata tiga orang mati dan 10 telah ditangkap dalam kejadian itu, lapor AFP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k