Pagi ini Tazkirah saya bertajuk : Kemuncak Malam Pertama Di Dunia Dan Di Alam Kubur.
Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi peringatan termasuk kapada saya juga dan sahabat-sahabat yang lain, yang singgah di sini..
Inginkan malam yang romantis bersama suami tersayang? Banyak caranya yang anda boleh lakukan untuk memastikan momen itu amat bermakna bagi anda berdua. Malam yang memiliki seribu keunikan yang boleh menghangatkan kasih dan sayang suami isteri. Bahkan dalam sebuah hadis ada menyebutkan bahawa pada setiap malam Allah SWT akan menebarkan rahmat-Nya kepada seluruh mahkluk yang mengambil kesempatan berkenaan.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya ..” Tuhan kami (dengan rahmat-Nya) turun ke langit dunia pada tiap-tiap malam, iaitu ketika masih tersisa dari malam hari sepertiga terakhirnya, lalu berfirman..” Barang siapa yang berdoa kepada-KU, maka AKU perkenankan baginya, barangsiapa yang meminta kepada-KU, maka AKU memberikannya, barang siapa yang meminta ampun kepada-KU, maka AKU akan mengampuninya” ( Hadis riwayat a-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya hanya rahmat dari Allah SWT saja yang boleh meyatukan dua hati, menjaga dan melindungi dari sebarang kejahatan makhluk. Siapakah yang melembutkan hati suami bagi menahan sabar, saat menahan kerenah sang isteri jika bukan Allah SWT? Siapakah yang meruntuhkan ego isteri ketika merajuk kalau bukan kerana sentuhan rahmat-Nya.
Allah SWT mencintai kita sepanjang masa, bukan terbatas kepada waktu malam sahaja. Tetapi momen yang paling bermakna itu lebih terasa di hati pada saaat malam berlabuh. Keikhlasan cinta itu terbukti ketika seorang hamba bersendirian menghadap-Nya, rela memuji-Nya dalam sujud dan rukuk, doa dan zikir yang tidak putus ketika orang lain lena dibuai mimpi. Ada satu malam, anda dan suami akan merasakan kenikamtan menjadi hamba Allah SWT yang meraih cinta tertinggi milik-Nya. Siapakah pengantin yang sangat beruntung itu?
Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah swt sekalian,
Anda tidur di sisi suami yang dikasihi, bebas memeluknya sambil berbual manja. Di bahunya ada menangis dan tertawa, tangan sentiasa hangat mengusap pipi yang kesejukan. Begitulah malam-malam yang anda dan suami lalui bersamanya. Tetapi bagaimana nanti melalui malam pertama di alam kubur? Sendirian dicengkam rindu, tangisan yang tidak akan dapat dipujuk lagi, ketakutan dan gementar menghadapi amalan akibat perbuatan sendiri. Di manakah suami tempat curahan kasih?. Sampai hati dia meninggalkan anda seorang diri. Sunyi gelap dan sempit.
Belum sempat anda lupakan kepahitan menelan rindu kepada kekasih hati, datang pula UTUSAN Allah swt membawa berita yang menakutkan. Siapakah yang akan menjaga seorang isteri dari kengerian alam kubur? Di manakah suaminya yang dulu melindungi? Siapakah yang boleh membela wanita ini dari kekejaman dan kerakusan ula tanah, cacing, tikus, kala jengking dan lipan?. Tubuh mulusnya, wajah cantiknya, rambut ikalnya menjadi santapan malam pertama makhluk yang menjijikan itu. Di manakah suaminya? Hanya amal soleh yang dapat menyelamatkan seorang wanita yang malang ini.
Sahabat-sahabat semua,
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ” Jika salah seorang antara kalian meninggal dunia, ditaampakkan kepadanya tempat tinggalnya pagi dan petang, jika dia termasuk penghuni syurga, maka dia menjadi penghuninya. Apabila dia termasuk penghuni neraka, maka dia menjadi penghuninya. Lalu dikatakan kepadanya, inilah tempat tinggalmu sehingga Allah SWT membangkitkanmu pada hari Kiamat” ( Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Hanya iman dan amal soleh sahaja yang melayakkan seseorang muslim memandang syurga tempat tinggalnya setiap hari sejak hari pertama dia ditempatkan di alam kubur. Ingatlah malam pertama di alam kubur ketika anda dan suami menikmati malam-malam yang indah di alam percintaan duniawi. Jangan terlena oleh kenikmatan sesaat hingga melupakan bekalan yang perlu dibawa untuk perjalanan yang panjang di akhirat nanti..
Sahabat-sahabat saya yang dirahmati Allah SWT,
Mereka akan kekal menjadi pengantin syurga di sisi Allah SWT Dilimpahi kasih Ilahi, diselamatkan dari ganguan orang-orang yang dengki dan cemburu. Pandangan mata suami ke arah isterinya menghantarkan kasih sayang kerana Allah SWT, hati sang isteri yang ikhlas melahirkan sikap taat dan reda kepada suaminya semata-mata kerana Allah SWT.
Hari-hari yang dilalui adalah perjuangan yang panjang dan melelahkan demi membina keluarga yang beriman, melahirkan anak-anak yang soleh yang sujud kepada Allah SWT. Apabila malam menyelimuti syurga yang dibina, kedua suami isteri itu bangun menghiasinya dengan rintihan taubat, tumpahan air mata dan kuntuman-kuntuman doa harum di sudut hati.
Bacalah dengan mata hati….Insya-Allah..mungkin akan mudah difahami…Semoga Allah SWT memberi rahmat kepada kita semua…amin.
Wasalam..