Rabu, November 23, 2011

'Emas bukan faktor nasib'

PARA pemain Malaysia melonjak kegembiraan selepas penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga (terbaring) gagal menyelamatkan sepakan penalti Baddrol kelmarin.

JAKARTA - Dua kali berturut-turut memenangi 'ibu emas' temasya Sukan SEA bukan disebabkan faktor nasib atau tuah semata- mata.
Selepas skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara mengakhiri penantian selama 20 tahun dengan meraih emas pada Sukan SEA 2009 di Vientiane, Laos, malam kelma- rin giliran Harimau Muda pula menggapai emas di Stadium Gelora Bung Karno.
Kemenangan 4-3 ke atas Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan, membuktikan betapa Malaysia kini semakin digeruni dan dicemburui pihak lawan di pentas Asia Tenggara.
Namun, satu persoalan yang timbul malam kelmarin iaitu bagaimana skuad kendalian Ong Kim Swee mampu menyerap setiap tekanan, bukan sahaja daripada barisan Garuda Muda, malah penyokong-penyokong fanatik Indonesia.
"Inilah yang saya bangga dengan karakter yang dimiliki setiap pemain. Mereka tidak sedikit pun menunjukkan rasa gugup walaupun terpaksa mengharungi perlawanan dengan ejekan dan cemuhan penyokong Indo- nesia.
"Sebelum perlawanan bermula lagi, mental pemain-pemain telah diuji apabila bas yang kami naiki diserang penyokong-penyokong Indonesia.
"Cuba kamu (pihak wartawan) bayangkan, bagaimana pemain-pemain muda saya mampu mengatasi tekanan yang begitu dahsyat," jelas Kim Swee ketika ditemui sejurus tamat perlawanan malam kelmarin.
Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, beliau telah memberi kata-kata semangat kepada barisan Harimau Muda sebelum turun beraksi di hadapan hampir 100,000 penyokong tuan rumah.
"Saya kata kepada para pemain, inilah masanya kita mengajar Indonesia. Tindakan penyokong Indonesia itu membuktikan mereka tidak menghormati raja kita, lagu kebangsaan kita, bendera kita dan ahli keluarga.
"Jadi, para pemain saya telah membuktikan malam ini (malam kelmarin), mereka tidak pernah gentar dengan sebarang teka- nan daripada orang luar," katanya.
Kim Swee mengakui, kejayaan anak-anak buahnya itu cukup manis apabila mereka dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos dua tahun lalu.
"Kejayaan ini membuktikan kemenangan Malaysia meraih emas di Laos bukan kerana nasib. Ini membuktikan pengurusan yang cukup baik serta dedikasi daripada semua pihak," kata Kim Swee.
Skuad kendalian Kim Swee hadir ke Jakarta dengan reputasi tinggi bersandarkan kepada kejayaan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009.
Antara kunci utama kejayaan Harimau Muda sudah pasti penampilan beberapa tonggak senior yang diterajui kapten, Baddrol Bakhtiar serta beberapa pemain yang menjulang skuad senior menjuarai Piala Suzuki AFF penghujung tahun lalu.
"Sebelum kami tiba di Jakarta, kami sudah bersedia menerima segala kesulitan dan para pemain juga sudah bersedia dari segi mental.
"Ternyata kehadiran pemain-pemain senior banyak membimbing pemain muda yang pertama kali beraksi pada Sukan SEA. Ini merupakan karakter yang cukup baik kerana purata pemain negara berusia 20 tahun," ujarnya.
Pada temasya kali ini, Kim Swee membariskan enam pemain yang pernah menikmati kejayaan dua tahun lalu iaitu Baddrol, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, K. Gurusamy dan Ahmad Fakri Saarani.
Kim Swee turut menyenaraikan Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Fadhli Shaas selain Asraruddin, Muslim dan Mahali yang membarisi skuad senior negara pada kempen Piala Suzuki AFF 2010.
"Saya bernasib baik kerana selain adanya pemain-pemain berpengalaman, majoriti pemain yang ada telah bersama dengan saya sejak awal tahun lagi. Ini membolehkan saya membuat persiapan terbaik bagi menghadapi Sukan SEA," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k