Ahad, Julai 29, 2012

Juara Liga Perdana England, Manchester City vs Malaysia malam ini





MANCINI (tengah) memegang trofi Liga Perdana England bersama Vincent Kompany (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Rajagobal (dua dari kiri) pada sidang akhbar di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan semalam.


MALAYSIA sudah bersedia untuk 'melayan' juara Liga Perdana England, Manchester City di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.
Pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, keazaman untuk melakarkan kejutan ke atas skuad kendalian Roberto Mancini itu sangat ketara kerana ia dianggap sebagai jalan terbaik bagi 'menebus' kekecewaan selepas tewas tipis 1-2 kepada Arsenal, Selasa lalu.
Begitupun, Rajogobal tidak mahu memberikan sebarang tekanan kerana beliau inginkan anak-anak buahnya mengulangi semangat dan keyakinan tinggi yang dipamerkan ketika menentang skuad The Gunners.
Beliau yakin skuad negara akan memanfaatkan peluang dan pengalaman pada aksi menentang Arsenal dan skuad The Citizens sebagai persiapan serta pendedahan terbaik menjelang kempen Piala Suzuki AFF bermula November depan.
"Keyakinan itu berbeza berbanding sebelum ini. Saya mahu mereka (Harimau Malaya) kekalkan keyakinan itu dan teruskan kesungguhan dalam setiap perlawanan.
"Bermain dengan pasukan, pemain terkenal seperti City dapat meningkatkan motivasi serta kesungguhan pemain kepada suatu tahap yang berbeza.
"Kalau kita boleh bermain dengan baik atau sekurang-kurangnya mencipta peluang untuk jaringan gol menentang pemain-pemain terbaik di dunia, itu adalah tanda-tanda yang baik bagi persiapan Piala Suzuki AFF.
"Saya mahu lihat pemain kita yang mana 'jangan terlalu takut', bermain dengan keyakinan tanpa sebarang tekanan.
"Mungkin (lebih penting adalah) kita mahu mengingatkan kepada pemain agar tidak mengulangi kesilapan ketika menentang Arsenal," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena ketibaan City di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan semalam.
Ditanya mengenai perubahan corak taktikal ketika melayan kunjungan City, Rajagobal menegaskan yang beliau perlu mencari pemain-pemain alternatif selepas senarai kecederaan pemain semakin meningkat.
Tambahnya, beliau berharap mentaliti penyokong berubah lebih ke arah positif kerana ketika ini skuad negara dalam proses 'pembelajaran' bagi menentang Arsenal dan City.
"Saya terpaksa menggantikan pemain selepas Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Subramaniam, Mohd. Bunyamin Umar dan Mohd. Azmi Muslim mengalami kecederaan ketika menentang Arsenal," katanya.
Sementara itu, Mancini yang menyaksikan City menewaskan Arsenal 2-0, pada aksi persahabatan di Hong Kong kelmarin menganggap kunjungan pertama ke ibu negara sangat istimewa.
Katanya, beliau bersedia untuk memberikan aksi terbaik ketika menentang Harimau Malaya dan mahu menilai sebahagian pemain bagi diserapkan ke skuad utama.
"Saya harap perlawanan ini dapat membantu kami mempertingkatkan keupayaan pasukan.
"Apa yang boleh saya beritahu, saya mahu jadikan perlawanan itu lebih baik.
"Walaupun hanya aksi persahabatan, ianya cukup penting kerana ia membabitkan jelajah pramusim untuk menilai kelemahan dan kelebihan pasukan kami.
"Saya akan memastikan yang terbaik pada perlawanan (menentang Harimau Malaya) itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k