Khamis, Mac 15, 2012

Ogy batal niat saman Johan Raja Lawak



OGY ada sebab tersendiri kenapa dia tidak jadi menyaman Johan Raja Lawak.


SEBELUM ini kecoh cerita mengenai pelakon dan pengacara versatil, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Kak Ogy, 50, nekad menyaman malu Johan Raja Lawak, 28,.
Ia ekoran Ogy berasa kecil hati dan terhina disebabkan mulut celupar pelawak itu yang mempersendakan Allahyarham dan Allahyarhamah ibu dan bapanya iaitu Datuk Ahmad Daud dan Datin Saadiah.
Kejadian itu berlaku ketika mereka berdua digandingkan bersama mengacarakan Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) yang berlangsung pada 19 November 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Begitupun, Ogy yang ditemui pada majlis memperkenalkan protege program Mentor musim keenam yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini meluahkan hasrat untuk membatalkan sahaja niat menyaman Johan selepas berasa sejuk hati pula.
Kenapa Ogy tiba-tiba tidak jadi menyaman Johan? Ogy meluahkan segalanya kepada Kosmo!
Kosmo!: Sebelum ini, Ogy juga yang meluahkan rasa amarah kepada Johan disebabkan sikapnya yang memperlekehkan Ogy sebagai pengacara senior dan juga diketahui menghina ibu bapa Ogy di atas pentas? Kenapa mudah benar berasa sejuk hati?
Ogy: Saya memang marah dan terkilan dengan sikap dia ketika itu. Tetapi, sebagai profesional, saya meneruskan juga mengendalikan anugerah secara langsung itu kerana saya berpegang pada prinsip untuk tidak mencacatkan majlis orang yang sudah meletakkan harapan yang tinggi untuk kita mengendalikan majlis tersebut dengan baik.
Apakah sebenarnya yang membuatkan Ogy marah betul dengan Johan sehingga ingin menyaman pelawak itu?
Selain menghina kedua arwah ibu bapa saya dia juga menghina nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Saya boleh bersabar lagi dan menegurnya selepas majlis itu tamat sebagai seorang kakak dan artis senior tetapi dia boleh gelakkan saya dengan teguran tersebut. Disebabkan itu saya sangat marah dan terus mengambil tindakan untuk menyamannya.
Kenapakah Ogy membatalkan niat untuk menyaman Johan sedangkan sebelum ini Ogy begitu nekad untuk menyaman pelawak itu?
Saya sudah sejuk hati dan memaafkan ketelanjuran dia (Johan). Setiap manusia akan melakukan kesalahan jadi tidak ada gunanya saya meneruskan niat untuk menyamannya. Industri kita bukan besar manapun. Mana-mana pergi pun akan jumpa balik.
Apakah yang membuatkan Ogy sejuk hati dan membatalkan niat untuk menyaman Johan?
Hasrat itu timbul selepas saya mendirikan solat tahajud dan istiharah memohon petunjuk daripada Allah. Lagipun saya bukan jenis orang yang suka mencari musuh dan bergaduh. Nabi Muhammad s.a.w. pun tak ajar kita untuk bermusuh jadi buat apa saya masih menyimpan amarah untuk menyamannya.
Kenapakah Ogy mengambil masa yang lama iaitu selama hampir empat bulan untuk membatalkan niat menyaman Johan? Adakah ia juga disebabkan Johan mengambil langkah selamat dengan tidak memberi sebarang komen berhubung isu saman tersebut?
Saya sudah membatalkan niat untuk tidak menyamannya sudah lama. Sebulan selepas majlis itu berlangsung. Baru sekarang saya berkesempatan untuk memberitahu pihak media. Malah, Johan sendiri tidak tahu mengenai hasrat saya ini. Seperti yang saya cakap tadi, selepas mendirikan solat beberapa kali saya berasa sejuk hati.
Beralih pada protege Ogy untuk Mentor musim keenam. Kenapakah Ogy memilih Noor Nazatul Farahin atau Zatul, 23, sebagai protege anda?
Saya sudah uji tahap keyakinannya, tahap IQ dia malah keseluruhannya dan Zatul adalah protege yang benar-benar layak. Dia juga boleh terima dengan cepat apa yang saya ajar. Paling penting dia boleh terima tekanan yang saya akan berikan. Setakat ini saya tengok dia mempunyai sesuatu yang menarik.
Adakah Ogy ingin menjadikan Zatul seperti Ogy yang berkebolehan dalam semua perkara?
Sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk dirinya. Tetapi saya tidak mahu dia menjadi klon Ogy.
Apakah perancangan yang sudah diaturkan untuk Zatul?
Saya sudah ada seorang guru vokal dan guru motivasi untuk dirinya. Malah, saya juga sudah melantik seorang perunding imej untuk dia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k