Ahad, Ogos 26, 2012

Derita Etnik Rohingya hanya Allah SWT saja yang tahu



Anda ada kerluarga? Miliki ayah ibu serta atuk nenek di kampung, keriuhan telatah adik lelaki atau perempuan, abang kakak tempat anda mengadu atau pun bayi kecil yang masih menyusu.

Anda miliki semua itu? Sekarang cuba bayangkan apabila mereka semua dibunuh tanpa sebab, tempat tinggal dibakar, abang akak diseksa, gadis dirogol bergilir-gilir dan bayi yang kehilangan ibu pula dibiarkan mati kelaparan.

Tragis..



Itulah yang sedang berlaku kepada lebih 800,000 etnik Islam Rohingya di Myanmar. Mereka merupakan etnik minoriti di Arakan iaitu sebuah negeri yang dikenali sebagai Rakhine sekarang.

Kewujudan mereka dinafikan oleh pemerintahan kerajaan pro Junta apabila Akta Kerakyatan 1982 berkuatkuasa. Diskriminasi ini telah membuatkan mereka menjadi warga tidak bernegara.

Akta ini mengklasifikasikan tiga jenis warganegara iaitu:
  • Warganegara penuh: keturunan penduduk yang menetap di Myanmar sejak 1823 atau mereka yang lahir dari ibu bapa yang sudah menjadi warganegara.
  • Warganegara bersekutu: mereka yang mendapat taraf kerakyatan melalui Undang-undang Kesatuan Kewarganegaraan 1948.
  • Warganegara berkecuali: mereka yang tinggal sebelum 4 Jan 1948 dan memohon kerakyatan selepas tahun 1982.
Dakwaan

Kerajaan Junta mendakwa etnik Rohingya gagal memenuhi kriteria untuk menjadi warganegara kerana tidak mempunyai sejarah nenek moyang yang menetap di bumi Myanmar.
Perkara ini dikuatkan oleh beberapa pengkaji sejarah Myanmar, seperti Khin Maung Saw yang menyatakan terma 'Rohingya' tidak ada dalam sejarah sebelum 1950an.

Pengkaji lain, Dr Maung Maung mendakwa tiada perkataan 'Rohingya' dalam bancian yang dilakukan oleh British pada 1824.

Manakala, pengkaji Aye Chan memberitahu bahawa perkataan Rohingya ini dicipta oleh pendatang Bengali dari Bengal yang bermigrasi ke Arakan semasa era penjajahan British.
Beliau turut berpendapat tiada sumber sejarah dari bahasa lain ditemui yang menyebut terma 'Rohingya' sebelum 1950an. Namun beliau menambah, ini tidak bermakna komuniti Islam tidak wujud di Arakan pada 1824.

Rohingya menafikan dakwaan tersebut kerana mereka mempunyai bukti menunjukan susur galur mereka bekait rapat dengan pemerintahan kesultanan Islam Bengal di Arakan pada kurun ke-14.

Jika benar dakwaan Rohingya, isu sebenarnya adalah mengenai terma penggunaan perkataan 'Rohingya' itu sendiri yang dilihat terlalu asing dalam catatan sejarah Myanmar sebelum 1950an.

Kemasukan Islam di Arakan

Dakwaan Junta Myanmar ini membuat kita berfikir adakah isu kelayakan warganegara ini diukur pada nama etnik? Adakah jika perkataan 'Rohingya' tidak digunakan dari mula, mereka ini akan diterima sebagai warganegara. Tidak semudah itu?

Pada tahun 1531, Arakan telah ditakluk oleh Raja Narameikhla (beragama Buddha) dari Kerajaan Mrauk-U yang memegang takhta selepas dibantu oleh Kesultanan Islam Bengal.
Narameikhla turut melantik orang Islam bagi memegang jawatan tertinggi dalam hal ehwal diraja. Selepas kemangkatan Narameikhla, anakandanya telah memegang takhta dengan menggunakan nama Islam iaitu Ali Khan walaupun sebenarnya beliau beragama Buddha.

Pemerintahan Ali Khan ini telah menyaksikan peningkatan populasi muslim Bengali pada awal kurun ke-17. Mereka ini telah ditempatkan bekerja di beberapa sektor dalam Kerajaan Arakan.

Penjajahan British

Kepincangan mula timbul apabila Burma (Myanmar) menyerang dan menakluki Arakan pada 1785. Kejatuhan Arakan ini telah menyebabkan 35,000 penduduknya lari ke Chittagong sebuah wilayah jajahan British bagi mendapatkan perlindungan.

Pemerintah zalim Burma telah membunuh beribu-ribu penduduk Arakan serta memindahkan sebahagian besar penduduknya ke tengah Burma. Operasi ini telah menjadikan Arakan wilayah tidak berpenghuni sehinggalah kemasukan British.

Penjajahan British telah menggalakkan penduduk Bengali di kawasan berhampiran untuk berpindah ke tanah subur lembah Arakan. Polisi ini telah menarik beribu-ribu Bengali dari Chittagong bertandang ke Arakan untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut bancian 1891 yang dilakukan British seramai 58,255 orang Islam tinggal di Arakan. Angka tersebut meningkat seramai 178,647 orang pada tahun 1911 dan kemudian meningkat lagi dengan drastik pada tahun 1927 kepada 480,000 orang Islam.

Ketegangan Kaum




Era penjajahan British menyaksikan beberapa siri gerakan provokasi pada 1930an seperti "anti-Islam" dan "Burma untuk Orang Burma sahaja". Gerakan yang dipelopori oleh penganut Buddha ini menidakkan dakwaan orang Islam yang dikatakan telah menetap di Myanmar sejak kurun-9.

Kemuncak pergaduhan kaum terbesar berlaku semasa Perang Dunia Kedua apabila Askar Pembebasan Burma di bawah pimpinan nasionalis Aung San telah memaksa 500,000 india keluar dari Burma.

Setelah merdeka dari British pada 1948, parti pemerintah AFPFL (Anti-Fascist People Freedom Party) telah menyingkirkan Kongres Muslim Burma dari perikatan.

Ketegangan bertambah buruk apabila rampasan kuasa oleh tentera Junta pimpinan Jeneral Ne Win pada 1962. Ne Win secara licik menyisih orang Islam dari memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan bertindak menghalau ratusan ribu orang Islam keluar dari Burma.

Pemerintah zalim Burma telah memusnahkan masjid dan sekolah agama Islam di seluruh negara. Pembinaan rumah ibadah baru juga tidak dibenarkan dan sebarang penghasilan atau cetakan al-Quran adalah dilarang.

Penganiayaan demi penganiayaan giat dilakukan oleh Junta pada hujung 1970an termasuk operasi banci Nagamin pada 1978. Operasi ini menyasarkan populasi Islam sehingga menyebabkan 200,000 orang Islam melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Ditambah pula akta kerakyatan 1982, yang terus menafikan Rohingya dari menjadi warga negara. Sebabnya telah dinyatakan pada awal artikel.

Ketika 1991-92, dasar kekerasan diteruskan Junta hingga memaksa suku juta Rohingya melarikan diri ke Bangladesh. Laporan yang diterima dari pelarian memberitahu yang mereka dikerah menjadi buruh paksa, dihukum kerana perkara remeh, diseksa dan dirogol.

Rata-rata buruh paksa Rohingya diseksa dan tidak menerima sebarang gaji untuk membangunkan projek ekonomi Burma.

Beberapa pergaduhan agama dan kaum tercetus seperti rusuhan anti-Muslim di Mandalay (1997) dan Taungoo (2001). Situasi diburukkan lagi setelah 9/11, apabila Junta menjadikan peristiwa serangan di Amerika sebagai alasan menghalang ekstremis Islam di Myanmar.

Derita etnik Rohingya ini berlarutan berpuluh tahun tanpa kesudahan dan terbaru 20,000 muslim dilaporkan terbunuh sejak Jun 2012.

Punca Keganasan

Punca keganasan terbaru ini tidak diketahui, di mana kedua-dua belah pihak saling menunding jari.

Pihak ekstremis Buddha mendakwa seorang gadisnya etnik Rakhaine telah dirogol dan dibunuh oleh sekumpulan Rohingya pada Jun lalu.


Manakala Rohingya pula mendakwa bahawa rusuhan ini bermula pada 3 Jun 2012 di Utara Rakhine apabila 11 etnik Rohingya dipaksa turun dari bas dan di bunuh oleh Askar Burma tanpa sebab.

Pihak Kerajaan Bangladesh yang sebelum ini menerima sejumlah besar perlarian telah menutup pintu dari menerima kemasukan pendatang baru dari Rohingya. Sebab itu ada dikalangan mereka bertindak nekad memasuki perairan di beberapa buah negara lain di Asia Tenggara.

Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia telah melaporkan pada 1 Ogos lalu bahawa pihak berkuasa Myanmar telah melakukan pembunuhan, penangkapan dan merogol etnik Rohingya.

Malah di persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu turut menggambarkan bahawa etnik Rohingya ini adalah sebuah kaum paling teraniaya di dunia.

Baru-baru ini OIC mendesak ahli-ahlinya supaya menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya ini. Antara yang terawal memberi bantuan adalah Raja Abdullah dari Arab Saudi menyumbangkan ASD50 juta kepada muslim Rohingya.

Malaysia pula melalui Kelab Putra 1Malaysia akan melakukan misi bantuan kepada Rohingya. Mereka dijangka akan berpusat di Bangladesh dan meneliti segala aspek keselamatan sebelum mebawa masuk bantuan kepada etnik Rohingya di Myanmar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k