Selasa, Ogos 28, 2012

Pemberontak tembak jatuh helikopter tentera Presiden Bashar al-Assad







DAMSYIK: Pemberontak Syria mendakwa menembak jatuh sebuah pesawat tentera ketika pertempuran sengit di bandar raya ini semalam.

Mereka menyifatkan kejayaan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan peramai-ramai lebih 330 orang yang didakwa dilakukan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad di bandar Daraya.


Menurut laporan televisyen Syria, pesawat berkenaan terhempas berhampiran sebuah masjid di daerah Qaboon, tempat berlakunya pertempuran sengit antara tentera kerajaan dengan pemberontak Tentera Pembebasan Syria (FSA).

“Ia adalah pembalasan dendam terhadap pembunuhan beramai-ramai di Daraya,” kata jurucakap batalion Badar FSA, Omar al-Qabooni.


Dia juga mendakwa pihaknya menemui mayat juruterbang terbabit selepas helikopter berkenaan terbakar setelah terhempas.


Beberapa letupan menggegarkan bandar raya Damsyik sejurus selepas Subuh sementara Pemerhati Syria bagi Hak Asasi melaporkan pertempuran berlaku di Waboon dan Jubir.

Sentimen anti-Bashar amat kuat di kedua-dua daerah berkenaan.


FSA sebelum ini mendakwa menembak sebuah jet pejuang Syria pada 13 Ogos lalu di wilayah Deir Ezzor tetapi dakwaan itu tidak boleh disahkan.

Serangan di timur laut Damsyik itu dilancarkan sehari selepas aktivis pembangkang menuduh kerajaan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Daraya yang terletak di barat daya Damsyik.


Menurut Pemerhati Syria, ratusan mayat ditemui di bandar yang mempunyai penduduk majoriti berfahaman Sunni itu selepas aktivis mendakwa tentera yang setia kepada Bashar melancarkan serangan selama lima hari dengan mengguna meriam, membunuh dan menyerbu rumah ke rumah.


Menurutnya semalam, 334 mayat ditemui di Daraya dan 241 sudahpun dikenal pasti.


Tentera kerajaan melancarkan serangan itu Selasa lalu dalam usaha menawannya semula. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k