KEBIRUAN Laut China Selatan yang terbentang luas menjadi sajian mata anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stesen Lima, Pulau Layang-Layang, Sabah saban hari.
Selain kebiruan laut, pandangan warga ATM terutama petugas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antaranya hanya berkisar ke arah dua buah blok kediaman, dua buah hangar, menara pemerhati serta landasan kapal terbang sepanjang 1,367 meter.
Di situ tiada kedai runcit untuk membeli barangan harian, tiada gerai mamak untuk mereka berkumpul sambil minum-minum menikmati teh tarik, tiada pusat-pusat hiburan untuk menceriakan hati dan jauh sekali dari pusat beli-belah bagi membolehkan mereka mempersiapkan diri dan keluarga menjelang Aidilfitri.
Aktiviti riadah yang menyeronokkan pula seperti mandi laut dan memancing di situ terpaksa dikurangkan kerana cuaca di pulau yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu itu tidak menentu, terutama mulai bulan Ogos sehingga Februari setiap tahun.
Ini kerana ombak laut pada bulan- bulan ini lebih dikenali sebagai kuda putih oleh warga Stesen Lima kerana warna buih, ketinggiannya serta kederasannya bergerak menghempas pantai.
Ia dipengaruhi oleh kelajuan angin pada masa-masa sebegini yang mencecah sehingga 30 Knot sehingga 40 Knot.
Selain itu, penggunaan air dan elektrik juga kadang-kala perlu dicatu bagi memastikan ia hanya digunakan untuk tujuan yang benar-benar perlu serta tidak kehabisan.
Tiada apa yang salah dengan persekitaran sebegini, namun persoalannya mampukah orang awam bertahan dengan aktiviti yang terbatas serta pemandangan yang terhad ini selama lebih kurang setahun?
Bagi penulis, ia tidak mustahil tetapi kehidupan rutin dengan pemandangan terbatas buat sekian lama adalah kekurangan yang pasti menyiksa jiwa dan membosankan.
Di sebalik segala kekurangan itu, warga TLDM dan ATM amnya tetap gah, gagah dan bersedia berkawal kepentingan negara dalam menghadapi segala kemungkinan.
Kekuatan mental dan fizikal mereka membolehkan perkara yang sukar menjadi mudah, termasuk jika terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa insan tersayang di sisi.
Bagi Pegawai Laksana Stesen Lima, Leftenan Madya Abu Safrizal Abu Hassan, 25, sungguhpun tidak beraya di Pulau Layang-Layang pada Aidilfitri kali ini, beliau tetap tidak dapat menyambutnya bersama keluarga tersayang di Gerik, Perak.
Pada 1 Syawal yang dijangka Rabu ini, saya akan bertugas di Kem TLDM Kota Kinabalu bagi bersedia ke Pulau Layang-Layang pada bila-bila masa jika keadaan memerlukan, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia Jumaat lalu.
Beliau yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik memberitahu, kekuatan anggota di Pulau Layang-Layang pada satu-satu masa biasanya seramai 50-60 orang, bergantung kepada keperluan dan bentuk ancaman yang ditafsir.
Sudah tentu beraya di kem amat berbeza daripada beraya di kampung halaman namun saya perlu redha kerana tanggungjawab kepada tanah air, jelasnya pasrah.
Pulau Layang-Layang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly, kawasan tuntutan bertindih beberapa buah negara antaranya China, Vietnam dan Filipina.
Justeru, negara-negara tersebut termasuk Malaysia telah mendirikan binaan serta kem di pulau-pulau kecil yang ditafsir berada dalam perairan masing-masing sebagai tanda hak dan kedaulatan.
Selain Pulau Layang-Layang, TLDM dan ATM amnya turut mendirikan kem di empat lagi pulau iaitu Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau.
Dalam pada itu, Lans Koperal Mohd. Shukor Md. Saad, 26, dari Kor Kesihatan Diraja Tentera Darat pula akan beraya di Kem Lok Kawi milik perkhidmatan itu pada Aidilfitri ini.
Bagaimanapun sebelum pulang ke Kem Lok Kawi baru-baru ini, beliau yang satu-satunya anggota dari Tentera Darat yang berkhidmat di Pulau Layang-Layang pada Ogos lalu sempat bertugas serta berpuasa di sana lebih daripada dua minggu.
Sambutan Ramadan di pulau tetap meriah dengan amalan solat sunat Tarawih serta pembayaran zakat kepada amil dari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang didatangkan khas sempena bulan puasa.
Selain itu, kerana ketiadaan pasar juadah seperti kebiasaan di tanah besar, kami membuat kuih sendiri untuk berbuka seperti kuih Buah Melaka, bubur pisang dan kuih Penyek Hidung, jelasnya riang.
Namun apabila ditanya mengenai sambutan hari raya di tempat asalnya Rompin, Pahang, suara beliau sedikit berubah.
Tidak apa, beraya dengan kawan-kawan di kem pun seronok juga, ujarnya seakan menyedapkan hati sendiri.
Seorang lagi anggota TLDM, Laskar Kelas 1, Mohd. Husaini Sapie, 28, memberitahu, tahun ini merupakan kali kedua beliau beraya di Pulau Layang-Layang.
Katanya yang juga salah seorang bilal di Stesen Lima, air mata kerinduan dan keinsafan tidak dapat tertahan di kala bertakbir serta mengerjakan solat sunat Aidilfitri.
Sebagai bilal, saya turut mengetuai dendangan takbir pada 1 Syawal dan pada saat itu tahun lepas, air mata mengalir teringatkan isteri, Nor Aini Mamat, 28, serta kaum keluarga yang berada di Terengganu.
Walaupun tidak dapat merasai masakan nasi dagang istimewa isteri saya pada satu hari raya nanti, kehangatan Aidilfitri tetap terasa dengan amalan pulau terbuka kami ke Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau, ujarnya.
Sejarah Pulau Layang-Layang
Pulau Layang-Layang atau Terumbu Layang-Layang (Inggeris: Swallow Reef, Cina: 弹丸礁, Danwan Jiao, Filipino: Celerio, Vietnam: Đá Hoa Lau) adalah sebuah pulau yang merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Kerajaan Malaysia telah memantau pulau ini dan menegaskan bahawa pulau ini adalah kepunyaan Malaysia kerana kedudukannya yang berada berhampiran dengan Sabah. Pulau ini juga dituntut oleh negara Republik Rakyat China, Republik China (Taiwan), Filipina dan Vietnam.
Pulau ini merupakan tuntutan negara Malaysia terhadap sebahagian daripada pemilikan di Kepulauan Spratly kerana ia berdekatan dengan kawasan tanah. Setelah Kerajaan Malaysia mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau layang-Layang itu terletak dalam perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia pada 20 September 1979, Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang dalam wilayah negara.
Hasil kajian telah melihatkan pembinaan tugu pertama terumbu Layang-Layang atau Stesen Lima telah didirikan pada 21 Jun 1980 dan pada Mei 1983, 18 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditempatkan di Terumbu Layang-Layang.[1] Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 162 batu nautika atau sejam penerbangan dari Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada gugusan kepulauan Spratlys di Laut China Selatan, dengan empat lagi terumbu dikawal oleh TLDM iaitu Terumbu Ubi, Terumbu Mantanani, Terumbu Siput dan Terumbu Peninjau.
Kepulauan Spratlys menjadi rebutan beberapa negara seperti China, Vietnam, Filipina dan Brunei kerana dipercayai kaya dengan hasil semula jadi seperti fosforus, gas asli, minyak mentah dan pelbagai hasil marin.
Pulau Layang-Layang terletak 165 batu nautika dari barat laut Kota Kinabalu (dalam lingkungan 200 km zon eksklusif) di Laut China Selatan. Pulau ini timbul hampir 2000 meter dari dasar laut. Berukuran sepanjang 1.2 km dan selebar 200 meter, pulau berbentuk bujur ini amat menarik dengan pelbagai pemandangan dasar laut yang mengagumkan, kepelbagaian batu karang dan ikan terumbu, termasuk haiwan laut dalam (pelagik) yang menjadi daya tarikan kepada para penyelam. Pulau Layang-Layang juga menjadi tempat perlindungan kepada beribu-ribu ekor burung berpindah.
BEBERAPA petugas di Stesen Lima melakukan rondaan di sepanjang landasan kapal terbang di Pulau Layang-Layang baru-baru ini.
best ke kerja ARMY ni? lasak tul korang yer.
BalasPadamasalamualaikum...boleh tak nak tumpang nangis!!!betapa susahnya anggota tentera nak jaga kedaulatan negara...subhanallah.... :')
BalasPadam