Rabu, September 19, 2012

Bomoh nikah batin didakwa




KEADAAN Mohd. Sombas ketika ditahan oleh JHEAINS dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu kelmarin.


SEREMBAN - Seorang lelaki yang diberkas berhubung dakwaan memperdayakan wanita untuk tujuan seks dilepas tanpa dibebaskan dengan bon jaminan sebanyak RM15,000 bagi empat kes berasingan di Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Bon jaminan itu dikenakan terhadap Mohd. Sombas Abdullah, 48, sementara menunggu keempat-empat pertuduhan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan dibacakan terhadapnya pada 9 Oktober depan.
Di Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd. Sombas dikenakan bon jaminan RM12,000 dengan enam penjamin kakitangan awam atas tiga kesalahan mengikut Seksyen 49, 50 dan 52 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan.
Hakim Syarie Abu Zaky Mohamad mengeluarkan perintah bon jaminan tersebut bagi kesalahan mencela agama Islam, mempermain ayat suci al-Quran dan hadis serta melakukan perbuatan ajaran salah.
Sementara itu, di Mahkamah Rendah Syariah, Hakim Syarie Hamizan Mohd. Nor mengenakan bon jaminan RM3,000 terhadap Mohd. Sombas dengan dua penjamin kakitangan awam.
Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai bomoh itu disiasat mengikut Seksyen 77 Enakmen Jenayah Syariah 1992 Negeri Sembilan iaitu memperdaya serta melarikan wanita untuk tujuan seks.
Pendakwa Syarie Kanan, Wan Mohd. Helmi Masran dan Zulzaidi Mahmod dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengendalikan kesemua kes yang dikenakan terhadap tertuduh manakala Mohd. Sombas tidak diwakili peguam.
Mohd. Sombas yang sudah berkeluarga gagal membayar bon jaminan tersebut. Tiada ahli keluarga tertuduh kelihatan di mahkamah. Malam tadi tertuduh ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai sebelum dia kemudian ditahan di penjara.
Kosmo! semalam melaporkan seorang bomoh yang didakwa memperdaya pesakitnya yang terdiri daripada wanita untuk melakukan hubungan seks dengan alasan perubatan terperangkap apabila dia ditahan oleh JHEAINS di sebuah rumah di Kampung LBJ, Labu di sini kelmarin.
Sebelum melakukan hubungan seks dengan pesakitnya, lelaki itu didakwa turut mengadakan upacara nikah batin dengan wanita berkenaan.

1 ulasan:

t

k