Ahad, September 23, 2012

Guru dilanggar kereta peragut




MANGSA ragut, Zura Ashikin Mustafa dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan semalam.


KOTA BHARU - Seorang guru bukan sahaja kerugian RM2,000 akibat diragut malah dilanggar dua kali oleh kereta yang dinaiki peragut terbabit, mengakibatkan tulang pinggul kiri wanita berusia 48 tahun itu patah.
Kejadian berlaku ketika Zura Ashikin Mustafa memasukkan bekas makanan yang dibelinya untuk kegunaan sekolah ke dalam kereta Proton Waja miliknya di Pasir Tumboh dekat sini pukul 8 pagi kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd. Rafa berkata, dalam kejadian itu, peragut terbabit bertindak meragut beg tangan mangsa dari arah belakang menyebabkan mangsa terjatuh.
Mangsa kemudian diseret sejauh tiga meter sebelum dia terbaring di depan kereta suspek dipercayai jenis Nissan Sentra dan kemudian dilanggar.
Zura merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Dato Hashim, Pengkalan Chepa.
Idris berkata, mangsa dilanggar kereta yang dipercayai dinaiki tiga orang termasuk peragut berkenaan sebelum mereka melarikan diri ke arah Jalan Peringat.
"Mangsa yang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian mengalami patah tulang pinggul kiri serta luka di sana sini," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Sementara itu Zura memberitahu, kejadian yang berlaku begitu pantas sejurus dia keluar dari bank berdekatan untuk mengeluarkan sejumlah wang.
Katanya, dia kemudian ke kedai berhampiran untuk membeli bekas makanan bagi kegunaan sekolah sebelum kemudian kembali ke keretanya.
"Ketika itulah saya diragut tetapi yang saya sedar badan diseret, kemudian terbaring di atas jalan sebelum dilanggar kereta itu," ujarnya.
Zura mendakwa dia dilanggar kereta itu dua kali.
Kosmo! pada 30 Ogos lalu melaporkan seorang wanita yang cuba menyelamatkan beg tangannya daripada diragut, hampir putus pergelangan tangan kirinya akibat ditetak dengan parang beberapa kali oleh penjenayah terbabit.

1 ulasan:

  1. takutnya,... main parang je manusia skrg ni.. dulu berani nak pergi kedai seorang diri... skrg ni kena berteman....

    BalasPadam

t

k