Ahad, September 09, 2012

Tahniah buat Muhamad Ziyad Zolkefli : Menang Pingat Gangsa dalam acara lontar peluru Sukan Paralimpik 2012 di London




ZIYAD menunjukkan pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara melontar peluru lelaki F20 di London kelmarin.


ATLET elit olahraga, Muhamad Ziyad Zolkefli membawa khabar gembira apabila menyumbang pingat kedua buat kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik 2012 di London kelmarin.
Ziyad meraih pingat gangsa dalam acara melontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) sele- pas melakukan lontaran sejauh 15.21 meter pada saingan di Stadium Olimpik.
Pingat emas acara itu dimenangi dimenangi atlet Australia, Todd Hodgetts yang merekodkan jarak 16.29m manakala perak menjadi milik Jeffrey Ige dari Sweden dengan catatan 15.50m.
Catatan yang dilakukan ketiga-tiga atlet itu turut melepasi rekod berusia 12 tahun milik atlet Poland, Krzysztof Kaczmarek iaitu 13.10m pada edisi 2000 di Sydney, Austra- lia.
"Saya memang bersyukur sangat kerana saya dapat menang pingat pada Sukan Paralimpik kali ini. Saya memang meletakkan sasaran untuk menang pingat.
"Pingat ini adalah untuk kedua ibu bapa saya dan juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong kami (kontinjen paralimpik Malaysia) di sini (London)," kata Ziyad yang kali pertama mewakili negara di pentas Paralimpik.
Mengulas lanjut mengenai aksi- nya kelmarin, Ziyad berkata, dia sedikitpun tidak berasa tertekan walaupun lontaran ketiganya telah dibatalkan.
"Ia memang kesilapan saya tetapi itu semua tidak menjejaskan tumpuan saya untuk memberikan yang terbaik. Saya telah beri sepenuh komitmen saya semasa di gelanggang," katanya.
Lontaran kedua Ziyad merupakan yang terbaik selepas percubaan pertama menyamai pencapai- an terbaik peribadinya iaitu 13.79m.
Pada percubaan keempat, Ziyad melakukan catatan 14.35m manakala dalam lontaran kelima dan ke- enam masing-masing dengan 14.13m dan 14.36m.
Kejayaan Ziyad meraih pingat gangsa membolehkan atlet berasal dari Gombak, Selangor itu meraih RM100,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Isnin lalu, pemanah elit, Hasihin Sanawi menyumbangkan pingat pertama buat kontinjen Malaysia apabila meraih pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 bagi sukan memanah.
Dengan kejayaan Hasihin serta Ziyad itu, kontinjen Malaysia berjaya memperbaiki pencapaian pada Sukan Paralimpik 2008 di Beijing, China.
Pada temasya tersebut, kontinjen Malaysia sekadar meraih satu pingat gangsa menerusi atlet wanita, Siow Lee Chan dalam acara powerlifting.
Sebelum itu, pada edisi 1992 di Barcelona, Sepanyol, Malaysia meraih satu pingat perak dan dua gangsa - pencapaian terbaik di pentas Paralimpik setakat ini.
Pingat perak disumbangkan oleh Cheok Koon Fatt dalam acara powerlifting manakala gangsa menerusi P. Mariappan (powerlifting) dan Mohd. Khasseri Othman (olahraga).
Pada edisi 1988 di Seoul, Korea Selatan, Malaysia meraih satu pingat gangsa menerusi Mariappan dalam acara powerlifting.

2 ulasan:

t

k