Selasa, Ogos 14, 2012

Morsi arah Menteri Pertahanan letak jawatan




TANTAWI


KAHERAH - Presiden Mohammed Morsi melakukan kejutan apabila beliau mengarahkan Menteri Pertahanan, Fil Marsyal Hussein Tantawi supaya bersara.
Presiden Mesir berkenaan turut membatalkan rombakan perlembagaan oleh tentera sebelum ini yang memberikan kuasa eksekutif kepada beberapa orang jeneral Mesir.
Dalam pada itu, Morsi melantik seorang hakim kanan, Mahmoud Mekki sebagai Naib Presiden Mesir.
Keputusan tersebut yang diumumkan kelmarin berkuat kuasa serta-merta.
Berita mengenainya diumumkan oleh jurucakap Presiden, Yasser Ali pada satu sidang media yang disiarkan oleh stesen televisyen negara berkenaan.
Menurutnya, Morsi melantik Abdel-Fattah El-Sissi sebagai Menteri Pertahanan bagi menggantikan Hussein.
Hussein sebelum ini mengetuai Majlis Tentera yang memerintah Mesir selama 17 bulan selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak pada Februari 2011.
Turut diarahkan bersara adalah ketua nombor dua Majlis Tentera iaitu Ketua Staf Sami Annan.
Sementara itu, beribu-ribu orang berhimpun di Dataran Tahrir di sini semalam sebagai menyatakan sokongan mereka berhubung perubahan kuasa yang diumumkan oleh Morsi.
"Rakyat Mesir menyokong keputusan Presiden," kata mereka.
Tindakan berani itu dibuat seminggu selepas 16 askar sempadan Mesir ditembak mati oleh sekumpulan militan di sebuah pos kawalan sempadan di utara Semenanjung Sinai, dekat Israel.
Peningkatan penentangan kumpulan militan itu berlaku selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden pada Februari tahun lalu atas desakan penunjuk perasaan.
Kepimpinan tentera amat berpengaruh di Mesir tetapi setakat semalam tiada tanda-tanda bahawa angkatan bersenjata negara itu mencabar arahan Presiden.
Tiada alasan diumumkan berhubung langkah pertukaran kepimpinan tersebut setakat ini. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k