Sabtu, September 01, 2012

'Butler tak profesional'


CHE MAT (kiri) mahu Butler (kanan) mengemukakan laporan rasmi kepada PBSNT.


"SEPATUTNYA dia (Butler) harus bertemu dengan saya terlebih dahulu bagi menjelaskan keadaan sebenar sebelum memberikan kenyataan kepada media."
Demikian reaksi Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh bagi mengulas tindakan pengendali Terengganu, Peter James Butler yang memberikan laporan kepada media berhubung insiden dua pemainnya didakwa melanggar peraturan pasukan.
Kosmo! semalam melaporkan dua pemain Terengganu iaitu Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad digugurkan oleh bekas pengendali Kelantan itu selepas mendakwa mereka didapati melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Mereka juga didakwa atas kesalahan pulang ke bilik penginapan kira-kira pukul 3 pagi dan membawa wanita ke hotel selepas perlawanan menentang Kedah pada aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Che Mat berkata, beliau kesal dengan tindakan Butler yang disifatkan tidak memiliki 'semangat kekeluargaan' apabila mendedahkan perkara ini kepada umum.
Tegas Che Mat, Butler sepatutnya mengemukakan laporan rasmi dan bukannya memberi kenyataan yang boleh membawa imej buruk kepada pemain, pasukan dan pihak pengurusan pasukan dari Pantai Timur itu.
"Saya dimaklumkan bahawa Ismail dan Muslim tidak dapat beraksi ketika menentang Kedah kerana dilaporkan demam.
"(Pada insiden itu, selepas perlawanan menentang Kedah), saya ternampak Butler marah kepada mereka di khalayak ramai ketika saya turun daripada bilik penginapan.
"Saya memanggil salah seorang pemain untuk mengetahui apa yang telah berlaku dan Butler tidak sepatutnya memberikan reaksi sebegitu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambah Che Mat, beliau kesal dengan sikap kurang profesional Butler yang memiliki kontrak bersama Skuad Penyu sehingga tahun depan yang dianggapnya sebagai menjejaskan nama baik PBSNT.
"Dia tidak sepatutnya bertindak begitu. Kalau dia betul-betul profesional, kemukakan laporan rasmi dan bukannya bertindak dengan memarahi pemain itu di khalayak ramai.
"Sekiranya ada bukti kukuh maka kami boleh mengambil tindakan tegas terhadap pemain yang terlibat. Butler seharusnya tidak memberikan kenyataan kepada media terlebih dahulu," katanya.
"Saya ingatkan perkara itu sudah selesai apabila saya memanggil semua pemain untuk melupakan insiden tersebut dan memberikan tumpuan pada aksi perlawanan menentang Kedah pada Sabtu ini (malam ini).
"Rupa-rupanya, dia telah memberikan kenyataan itu kepada media sebelum saya mengadakan pertemuan dengan mereka yang terlibat," tegasnya.
Ditanya mengenai nasib yang dialami Ismail dan Muslim, Che Mat menegaskan bahawa Butler tidak mempunyai kuasa untuk menyingkirkan mana-mana pemain.
"Dia tidak memiliki kuasa dan hak untuk menyingkirkan pemain.
"Sekiranya kes itu benar, kami yang akan mengambil tindakan, bukan Butler. Pertuduhan itu sangat berat namun tiada bukti kukuh."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k