Ahad, Ogos 26, 2012

Gergasi Merah nyaris gigit jari





MAYCON (tengah) diasak dua pemain pertahanan Selangor, P. Gunalan (kiri) dan Mohd. Nasriq Baharom pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.


PENYERANG import, Bosko Balaban muncul penyelamat Selangor apabila meledak gol penyamaan bagi membantu skuad Gergasi Merah seri 2-2 dengan Pahang pada aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.
Biarpun beraksi di laman sendiri, Selangor jelas gagal menggunakan kelebihan tersebut bagi meraih tiga mata berharga selepas kecundang 1-2 di tangan Sarawak Rabu lalu.
Pada aksi babak pertama, Pahang yang dilihat menampilkan corak permainan agresif berjaya mengejutkan Selangor apabila mendahului perlawanan menerusi jaringan penyerang import, Maycon Calvalho.
Jaringan tersebut hadir selepas pemain kelahiran Brazil itu berjaya melepasi benteng pertahanan Selangor yang diketuai Ramez Dayoub dan P. Gunalan sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-14.
Begitupun, kelebihan jaringan skuad Tok Gajah itu sekadar bertahan dua minit apabila perancang utama Selangor, Safiq Rahim menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma.
Selangor dan Pahang kembali mengatur serangan sebelum jaringan pemain tengah Pahang, Mohd. Fauzi Roslan sekali lagi menjadi pemisah kedua-dua pasukan.
Fauzi bijak memanfaatkan hantaran Maycon untuk meledak gol menarik pada minit ke-24.
Kombinasi jentera serangan Pahang yang diterajui Maycon, Kockin Boris dan Azamuddin Akil jelas mengundang bahaya buat Gergasi Merah sepajang 20 minit terakhir babak pertama.
Bagaimanapun, Pahang gagal menambah jaringan biarpun memiliki beberapa percubaan merbahaya ke kubu tuan ruman.
Bersambung babak kedua, Selangor kembali memperkemas rentak permainan bagi memburu gol penyamaan.
Usaha keras Selangor akhirnya berbaloi apabila Balaban menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-67.
Kedua-dua pasukan ghairah menambah jaringan, namun tiada gol dihasilkan dan keputusan 2-2 kekal sehingga akhir perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k