Sabtu, Julai 28, 2012

Dua mayat daripada empat mangsa yang hilang dalam kejadian letupan kapal tangki Bunga Alpina di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Labuan ditemui pasukan penyelamat semalam.






LABUAN - Dua mayat daripada empat mangsa yang hilang dalam kejadian letupan kapal tangkiBunga Alpina di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol Labuan ditemui pasukan penyelamat semalam.
Mayat kedua-dua mangsa ialah Mohd. Hanafi Kalil, 24, dari Melaka dan Zahari Hassim, 46, dari Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Saiman Kasron berkata, kedua-dua mayat tersebut dijumpai terapung di laut iaitu kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.
"Mayat Hanafi ditemui di Jeti Amsteel manakala mayat Zahari ditemui di Jeti Iron. Jeti Amsteel dan jeti Iron terletak kira-kira 50 meter dari lokasi kapal tangki meletup," kata beliau di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa yang pertama dijumpai pada pukul 12.41 tengah hari manakala mayat yang kedua dijumpai selang 16 minit kemudian.
Kedua-dua mayat yang melecur teruk itu dihantar ke Hospital Nukleus untuk bedah siasat.
Sementara itu, operasi mencari dua lagi mangsa yang hilang iaitu Muhamad Nazrin Khamsani, 20, dari Kuala Lumpur dan seorang warga Filipina, Colanggoy Errol Calaluan, 22, masih diteruskan.
Kapal Bunga Alpina yang meletup dan terbakar sudah ditunda ke tengah laut iaitu kira-kira 50 kilometer dari jeti bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Jabatan Alam Sekitar Sabah juga memasang perangkap minyak di sekitar lokasi kejadian bagi mengelakkan tumpahan minyak merebak.
Kelmarin, kapal itu membawa bahan bakar methanol terbakar selepas dipercayai disambar petir yang melanda kawasan tersebut.
Semasa kejadian kapal yang berlabuh di Jeti Terminal Loji Petronas Methanol itu mempunyai 29 anak kapal.
Sementara itu, bapa Hanafi, Kalil Abdullah, 46, berkata, dia amat terkilan kerana tidak sempat menatap wajah anak sulungnya yang terpisah sejak 19 tahun lalu.
"Kami sudah merancang untuk bertemu pada Aidilfitri ini tetapi hajat itu tidak kesampaian," ceritanya ketika ditemui di Hospital Nukleus di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k