Rabu, Julai 11, 2012

Bashar rancang tamatkan konflik




Bashar rancang tamatkan konflik

IMEJ yang dimuat naik dari laman YouTube pada 9 Julai lalu menunjukkan asap akibat pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak kelihatan di wilayah Daraa.Bashar(gambar kecil)


GENEVA - Presiden Syria, Bashar Al-Assad bercadang untuk menamatkan konflik di Syria secara berperingkat bermula dengan beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk, kata Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/Liga Arab ke Syria, Kofi Annan pada satu sidang media di Teheran, Iran semalam.
"Beliau membuat cadangan melalui pendekatan bermula di beberapa daerah yang mengalami keganasan terburuk dengan mengekang keganasan di semua lokasi tersebut dan menamatkan keganasan di seluruh negara," kata Annan, menurut teks PBB.
Bekas Setiausaha Agung PBB itu enggan memberikan butiran lanjut tetapi memberitahu, pelan Bashar perlu dibincangkan bersama pihak pemberontak Syria.
Pada sidang media yang sama, Annan mengulangi pandangannya bahawa Iran boleh memainkan peranan positif dalam mencari penyelesaian politik di Syria.
Satu pertemuan antara kuasa besar dunia di Geneva pada 30 Jun lalu menegaskan bahawa elemen ketenteraan dalam konflik tersebut tidak akan diteruskan.
"Ia bermakna kita perlu mencari satu penyelesaian damai dan tidak lagi membekalkan senjata kepada pihak-pihak terlibat dalam konflik di Syria," jelas Annan.
Annan kemudian tiba di Iraq semalam dalam misi kunjungan ke negara-negara sekutu Syria di Asia Barat.
Jurucakap pemerintah Iraq, Ali Al-Dabbagh berkata, Annan akan menemui Perdana Menteri, Nouri Al-Maliki bagi membincangkan kaedah sesuai untuk menamatkan pertumpahan darah di Syria.
Ali memberitahu, Baghdad merancang untuk menawarkan beberapa jalan penyelesaian bagi menamatkan pergolakan di negara itu yang berlanjutan sejak 16 bulan lalu.
Namun, beliau enggan mengulas lanjut.
Annan cuba mendapatkan sokongan sekutu-sekutu Damsyik untuk menyelamatkan pelan damainya yang kini menemui kebuntuan bagi menamatkan keganasan di Syria.
Beberapa aktivis memberitahu, pertempuran antara tentera Bashar dengan kumpulan pemberontak yang menentang pemerintahanya di Syria telah meragut nyawa lebih 17,000 orang setakat ini. - Agensi




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

t

k