KUALA LUMPUR: Bandar Kuala Lumpur yang senyap sunyi semenjak malam semalam dan dipenuhi sekatan jalan di merata tempat mula kembali ‘meriah’ dengan kehadiran peserta himpunan aman Bersih yang menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Namun, polis yang ditugaskan untuk mengawal keadaan mula mengganggu orang awam yang ada di antaranya keluar pada hujung minggu untuk membeli-belah bersama keluarga.
Menurut sumber, sehingga kini dilaporkan seramai 441 orang telah ditangkap polis, terdiri daripada orang awam dan peserta himpunan aman.
Peserta perhimpunan sudah berada di pelbagai lokasi di sekitar Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi lagi.
Sekurang-kurangnya lima lokasi dijadikan tempat berkumpul perhimpunan hari ini. Antaranya di Jalan Petaling, berhampiran Kompleks Daya Bumi, Masjid Jamek, Pudu dan Sogo.
Berikut adalah laporan lintas langsung dari beberapa tempat himpunan akan mula berarak:
3.24 petang: Suaram kutuk intimidasi polis. Berhimpun secara aman adalah hak yang termaktub dlm plembagaan. Suaram tuntut bebaskan tahanan dgn segera!
3.18 petang: Majlis Peguam menyelar tindakan kasar polis terhadap peserta himpunan@bersih2. Kenyataan rasmi akan dikeluarkan malam ini @BERSIH_live
3.05 petang: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut ditangkap polis di Pasar Seni.
3.00 petang: Sebahagian peserta himpunan dilapor telah mula membanjiri Stadium Merdeka.
2.57 petang: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua ditangkap dan kini berada dalam trak polis.
2.55 petang: Pengerusi Bersih 2.0, S. Ambiga dan anak DS Anwar, Nurul Izzah dan Nurul Hana ditangkap polis.
2.55 petang: Sehingga jam 2 petang, sumber PDRM menyatakan 644 ditahan – 597 lelaki dan 47 wanita.
2.50 petang: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran menyatakan Datuk Seri Anwar cedera dan berdarah di kepala, lutut.
2.50 petang: Seorang wartawan TV Selangor, Radzi Razak dilapor dikasari pihak polis. Beliau didakwa turut dipijak beberapa anggota polis.
2.38 petang:Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar dilaporkan cedera di KL Sentral. Manakala pengawal peribadi beliau dikasari dan turut dipukul. Anwar kini dikatakan kembali semula ke Hotel Hilton.
2.36 petang : Pengerusi Bersih, Ambiga dan ahli jawatankuasa Bersih, Maria ChinAbdullah ditangkap polis
2.26 tengahari: Menurut harakahdaily, kira-kira 20 ditahan di depan di Dataran Maybank.
2.10 tengahari: Polis dilapor bertindak ganas dengan mengheret dan memukul orang ramai di depan Pudu Raya. Seorang cedera dengan kepala berdarah.
1.59 tengahari: Di Menara Maybank pula, polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang kini dianggarkan berjumlah tidak kurang 10,000 orang. mereka berarak di hadapan Menara Maybank dan sepanjang Jalan Tun Razak. Manakala kumpulan dari Masjid Jamek pula menuju ke Pudu Raya.
1.52 tengahari: Terdapat sekurang-kurangnya empat trak polis di stesen LRT Masjid Jamek. Orang ramai berpecah selepas polis melepaskan gas pemedih mata, tetapi dijangka berkumpul semula.
1.50 tengahari: Tinjauan berhampiran Masjid Bukhary Jln Hang Tuah, polis menghalang umat Islam menunaikan solat Zuhur di masjid.
1.46 tengahari: Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga memaklumkan 10 wakil Bersih akan mengadap Yang DiPertuan Agong menyerahkan memorandum.
1.44 tengahari: Trak meriam air melepaskan tembakan ke atas orang ramai untuk kali kedua – kali ini menggunakan air bercampur kimia dan pewarna biru.
1.43 tengahari: Sekumpulan kira-kira 10 pegawai polis tugas am yang memakai topeng gas, mengejar orang ramai ke dalam kawasan Masjid India.
1.36 tengahari: Kumpulan dari Plaza Pudu telah bergabung di hadapan Menara Maybank. Dianggarkan lebih 10,000 hadir.
1.32 tengahari: Polis lepas gas pemedih mata ketika azan di Masjid India. Jemaah solat dengan mata pedih.
1.30 tengahari: Selepas sidang media di Hotel Hilton, pimpinan Pakatan Rakyat dijangka akan bergerak ke Stadium Merdeka.
1.20 tengahari: Rasmi dari polis: 514 ditangkap (478 lelaki dan 36 wanita)
1.17 tengahari: Lebih 5,000 lagi berkumpul di dataran Menara Maybank.
1.15 tengahari: Kira-kira 5,000 peserta berarak dari Petaling Street ke Stadium Merdeka. Bilangannya dijangka terus meningkat dari pelbagai arah.
1.10 tengahari: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak Pakatan Rakyat mengutuk keganasan polis. Bersih bersama pimpinan Pakatan mengadakan sidang media di Hotel Hilton.
Pemimpin utama BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan, Haris Ibrahim, Wong Chin Huat dan Sasterawan Negara A Samad Said juga berada di Hotel Hilton. Mereka disertai ahli politik William Leong, Datuk Kamaruddin Jaafar, Zaid Kamaruddin, Syed Azman Syed Nawawi dan Tian Chua.
1.05 tengahari: Menurut catatan twitter Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Khalid Jaafar, beliau ditangkap dan berada dalam trak polis bersama 17 yang lain.
1.05 tengahari: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali ditahan dan dibawa ke Pulapol, Jalan Semarak.
12.56 tengahari : Polis melepaskan gas pemedih mata kepada orang ramai di depan Agro Bank
12.55 tengahari: Kira-kira 100 anggota polis sedang menuju ke arah Pasar Seni untuk melakukan tangkapan
12.50 tengahari: Lebih 1,000 orang mula bergerak dari stesen lama KTM menuju Dataran Merdeka, lapor Malaysiakini.
12.50 tengahari: Polis menahan pergerakan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah di KL Sentral. Turut bersamanya,ahli MPP, Latheefah Koya.
12.42 tengahari: menurut malaysiakini, Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam berkata mereka memandang berat terhadap tangkapan beramai-ramai setakat ini.
12.40 tengahari : FRU dan Polis melepaskan tembakan di hadapan Agro Bank.
12.40 tengahari: Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub dilaporkan ditahan di KL Sentral. Kedua mereka dibawa ke Balai Polis Jinjang.
12.36 tengahari Polis dilaporkan menghalau orang ramai yang berkumpul berhampiran Masjid Jamek. Trak FRU yg diparkir di kawasan berhampiran mula bergerak.
12.30 tengahari: Kumpulan peserta himpunan dari Masjid Negara dilaporkan telah bergabung dengan kumpulan dari Pasar Seni menuju ke Stadium Merdeka.
12.15 tengahari : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bersiap sedia di Hilton KL untuk berarak ke Stadium Merdeka. Turut bersama beliau adalah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung keadilan, Saifuddin Nasution Ismail, dan pemimpin DAP, Lim Kit Siang serta Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan